Oleh : Syahida Mohd dan Safwan Syakir
KUALA NERUS – PASTI terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan awal Islam apabila berjaya melahirkan lebih daripada 1.1 juta alumni sejak ditubuhkan pada tahun 1980-an.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid berkata, pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi pihak pengurusan dan guru-guru dalam mendidik generasi muda yang berakhlak dan berilmu.
“Pencapaian ini adalah hasil keikhlasan pihak pengurusan dan guru-guru PASTI dalam mendidik anak-anak dengan asas pendidikan Islam yang kukuh.
“Keikhlasan dan kesungguhan guru-guru PASTI menjadi faktor utama kejayaan ini,”ujarnya.
Beliau yang juga Bendahari PAS kawasa. Kuala Nerus berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah PASTI Dun Bukit Tunggal baru-baru ini.
Tambah Zaharudin, PASTI tidak hanya menumpukan pada akademik tetapi juga melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akhlak, sahsiah, dan rohani.
“Ini penting kerana dunia hari ini penuh dengan cabaran yang boleh mempengaruhi generasi muda jika asas mereka tidak kukuh,” ujarnya.
Program yang diadakan di Kompleks Darul Taqwa (KOMTAQ) Batu 6 itu telah dihadiri oleh pelajar tahun akhir dari tujuh buah PASTI dalam kawasan itu.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Tunggal, Wan Nasirudin Wan Ahmad.