Home Artikel PAS Pusat

PASCA KES INDIRA GANDHI: PERLUNYA PEMERKASAAN SEMULA MAHKAMAH SYARIAH DI SEMUA PERINGKAT”

562 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA LUJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (LUHAM), PAS PUSAT

”PASCA KES INDIRA GANDHI: PERLUNYA PEMERKASAAN SEMULA MAHKAMAH SYARIAH DI SEMUA PERINGKAT”

1. Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, PAS Pusat (LUHAM), mendapati keputusan kes “unilateral conversion” (Indira Ghadhi a/p Mutho) oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018, membuktikan betapa rumitnya mencari jalan penyelesaian dalam kes seumpama ini dalam waktu yang sama untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

2. Ini terbukti apabila keputusan kes ini sangat berbeza dengan keputusan kes “R Subashini” yang juga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007. Ketika itu, mahkamah tertinggi dan terakhir negara membuat keputusan bahawa kes “unilateral conversion” adalah berada dalam bidangkuasa mahkamah syariah.

3. Ini belum mengambil kira bagaimana mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan juga membuat keputusan yang bertentangan di antara satu sama lain. Jika proses rayuan ini boleh berlanjutan selepas mahkamah persekutuan, kita tidak akan terkejut bahawa ia juga boleh membuat keputusan berbeza. Adalah tidak keterlaluan bahawa dengan mengambil kira corak keputusan mahkamah yang kerap berbeza ini, kita boleh menjangkakan jika ada kes seumpama ini pada masa akan datang, keputusan yang berbeza juga boleh berlaku.

4. Kerumitan ini boleh difahami apabila kita meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018. Mahkamah tidak menafikan fakta bahawa “anak-anak tersebut” telah memeluk Islam dan telah didaftarkan. Tetapi mahkamah menggunakan kuasa semulajadinya (inherent power) untuk melakukan “judicial review” bagi menentukan “legality” Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf. Usaha untuk membezakan antara fakta pemelukan Islam dan “legality” Perakuan Memeluk Islam boleh difahami kerana Mahkamah Persekutuan tidak mahu “terperangkap” ke dalam halangan Artikel 121 (1A) yang menghalang mahkamah sivil campur tangan bidang kuasa mahkamah syariah.

5. Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah / batal di sisi undang-undang lantaran “anak-anak tersebut” tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004. Lebih menarik, apabila mahkamah menyatakan bahawa Enakmen Negeri Perak tidak memberikan bidangkuasa kepada mahkamah syariah untuk menentukan sah atau tidaknya keIslaman seseorang.

6. Keputusan sebegini sebenarnya sangat sensitif kepada majoriti umat Islam di negara ini. Ini kerana majoriti ulama Islam berpendapat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam maka agama anak-anak yang masih kecil akan mengikut agama ibu atau ayahnya yang telah memeluk Islam. Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa ini adalah ijma ulama. Keislaman anak-anak kecil ini, tidak memerlukan mereka untuk melafaz dua kalimah syahadah. Adalah lebih harmoni, jika mahkamah sivil yang ingin membuat keputusan berkaitan hukum hakam agama Islam agar merujuk terlebih dahulu pihak berotoriti berkaitan agar tidak menjejaskan pengamalan agama Islam yang merupakan agama persekutuan.

7. Lompang yang wujud di dalam Enakmen tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan boleh dilihat secara positif sebagai “wake-up call” kepada pihak terlibat agar memperkemaskan undang-undang syariah berkaitan. Pihak berkuasa agama setiap negeri seharusnya memperkemaskan enakmen masing-masing agar dapat melindungi kepentingan orang-orang Islam dan pada waktu yang sama perlu mengambil kira kepentingan rakyat bukan Islam.

8. LUHAM percaya sudah sampai waktunya agar mahkamah syariah juga dibuka kepada rakyat bukan Islam untuk menuntut hak mereka berdasarkan hukum syarak. Undang-undang Islam telah melalui zaman yang cemerlang dan terbukti turut memberi faedah kepada rakyat bukan beragama Islam.

9. Oleh yang demikian, LUHAM menyeru semua pihak yang berkepentingan agar memulakan dengan seberapa segera satu mekanisme sama ada dinamakan sebagai mediasi, timbang tara, mahkamah “khas” atau apa-apa istilah lain yang lebih tepat yang boleh mengimbangkan antara kepentingan melindungi agama Islam sebagai agama persekutuan dan pada waktu yang sama lebih berkesan dalam meminimakan kesan perbalahan yang wujud antara pihak terlibat, dan dengan itu diharap dapat menguruskan masyarakat majmuk pelbagai agama dengan lebih harmoni.

Sejahtera Bersama Islam

YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Bin Dato’ Haji Hassan
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Pas Pusat

1 Februari 2018 | 15 Jamadil Awwal 1439