KUALA TERENGGANU – Pasar Payang bukan lagi sekadar pusat jual beli, sebaliknya bakal menjadi pentas hidup yang mempamerkan kekayaan budaya dan identiti Terengganu kepada pelancong dari seluruh pelusuk dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, elemen seni dan warisan akan diterapkan secara menyeluruh di sekitar kawasan Pasar Payang bagi mengangkat budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita akan mewujudkan persembahan 100 peratus kebudayaan setempat, lagu-lagu Terengganu, budaya Terengganu, makanan tradisional Terengganu.
“Makanan Terengganu ini ada lebih 70 jenis, dan semuanya sedap jika nak dibandingkan dengan tempat lain,” katanya ketika sidang media, dalam sesi walkabout di Pasar Payang sempena agihan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Menurut beliau, usaha ini selari dengan portfolio beliau dalam pelancongan dan kebudayaan yang menuntut penerapan nilai tempatan sebagai daya tarikan utama pelawat.
“Itulah tujuan saya datang ke sini selaku Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan, untuk menerapkan nilai-nilai budaya.
“Maksudnya ada stage persembahan, ada nyanyian lagu tradisi Terengganu,” jelasnya.
Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja mampu menyemarakkan suasana di sekitar Pasar Payang, malah turut memberi peluang ekonomi kepada para penggiat seni dan pengusaha makanan tradisional.
“Saya yakin ia akan menambahkan lagi keceriaan dan memberi pendapatan yang lebih kepada pengusaha.
“Kita mahu pelancong bukan sekadar membeli, tetapi merasai sendiri pengalaman budaya Terengganu,” tambahnya.
Pendekatan ini akan dilaksanakan seiring dengan pelan perluasan operasi pasar hingga ke waktu malam, menjadikan Pasar Payang bukan hanya hidup di siang hari, tetapi turut bernyawa di malam hari dengan denting gamelan dan aroma juadah warisan.