Home Berita PAS Pahang

Pasar Nelayan Beserah mula beroperasi seperti biasa

247
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 27 Okt. :: Pasar Nelayan Beserah menjadi tempat utama penduduk dan masyarakat luar Beserah untuk mendapatkan ikan segar yang baru naik dari laut.

Pasar yang menjadi punca pendapatan utama nelayan-nelayan di Beserah untuk meneruskan kelangsungan hidup agak terjejas apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andansura Rabu telah meninjau ke pasar tersebut untuk bertemu peniaga-peniaga ikan segar yang telah mula beroperasi seperti sediakala selepas masuk fasa ke-4, iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana rakyat dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

“Alhamdulillah para peniaga bersyukur dapat meneruskan perniagaan seperti biasa cuma perlu bersabar sedikit untuk nak menarik semula pelanggan supaya dapat datang dan tahu pasar segar telah beroperasi seperti biasa.

“Sebelum ini mereka hanya dibenarkan berniaga sehingga jam 2 petang sahaja. Atas keluhan para peniaga, minggu lalu saya berhubung dengan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“MBK telah pun memberikan kebenaran kepada mereka untuk beroperasi hingga jam 6 petang sepertimana sebelum PKP 3.0,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang menyeru agar masyarakat dapat membantu para peniaga di Pasar Nelayan Beserah kerana pelanggan agak berkurangan di waktu petang.

“Datanglah sambil mendapatkan keperluan barang basah yang segar-segar di sana, dalam masa yang sama boleh bantu para peniaga kita, semoga bertambah keberkatan dalam urusan jual beli kita,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, salah seorang peniaga pasar Wan Zulkifli Wan Sulong melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan YB Andansura Rabu membantu mereka dapat berniaga kembali seperti biasa dan mengharapkan semoga Pasar Nelayan Beserah kembali meriah seperti dahulu.
:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::