Home Berita PAS Terengganu

Pasar Besar Jerteh pulih, peniaga senyum lebar

37
SHARE

BESUT – Kerajaan negeri pada hari ini merasmikan pembukaan Pasar Besar Jerteh yang merupakan antara projek terbengkalai yang berjaya dipulihkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai isu menyebabkan pasar yang sepatutnya siap pada 2019 tertangguh kerana COVID19 sehinggalah bersambung awal tahun 2022 dan siap sepenuhnya penghujung 2023.

Katanya, sebanyak 74 peniaga yang sudah ditempatkan berniaga di pasar berkenaan dan terdapat 34 lagi kekosongan.

“Keutamaan diberikan kepada peniaga yang sedia ada namun diberikan keutamaan juga kepada peniaga yang sudah meniaga di tempat yang kurang selesa.

“Sebanyak RM150 sahaja sewa yang dikenakan supaya tidak membebankan para peniaga dan berpatutan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Baru Jertih, Besut bertempat di Jertih, Besut di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Tambah Ahmad Samsuri, dengan pembukaan pasar tersebut dilihat berpotensi membantu rakyat dari pelbagai sudut khususnya ekonomi.

“Saya difahamkan Pasar Besar ini menyediakan 114 ruangan niaga.

“Ia terdiri dari tingkat bawah yang terdapat 40 bahagian basah serta tingkat satu pula ada 10 bahagian ‘food court’ dan 24 bahagian pelbagai manakala tingkat dua pula tersedia 40 bahagian pakaian atau pelbagai,” ujarnya.

Untuk rekod, dua tahun lepas kerajaan negeri merasmikan Dataran Jerteh Square yang baru siap dibina ketika itu.

Menurutnya, dengan adanya pembangunan Jerteh Square, kita dapat menyelesaikan masalah peniaga yang terpaksa berpindah randah di bangunan sementara hampir 30 tahun.

“Alhamdulillah, kita juga telah berjaya menempatkan mereka secara kekal di 142 premis ruangan niaga.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan fasiliti perniagaan dan ekonomi rakyat di Jerteh ini dapat kita lunaskan,” ujarnya

Beliau berharap pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT seterusnya dapat membantu meningkat ekonomi dan tahap sosial lebih ramai rakyat.