Home Berita PAS Terengganu

Pasangan guna helah adik abang angkat elak dicekup Penguatkuasa

27
SHARE

MARANG – Pasangan yang mengaku kononnya mempunyai hubungan adik dan abang angkat ditahan ketika serbuan Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah (PAD) Marang bersama anggota sukarela di sebuah chalet di Marang.

Ketua Unit Penguatkuasaan (KUP) PAD Marang, Abdul Naim Mat Hasan berkata kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan di chalet berkenaan menemui pasangan lelaki dan perempuan tinggal berdua-duaan di dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu mendakwa bahawa perempuan yang bersamanya adalah adik angkat kepadanya, namun siasatan lanjut mendapati mereka gagal membuktikan sebarang dokumen yang sah.

“Pasangan yang ditahan adalah lelaki yang berusia lingkungan 60 tahun dan perempuan berumur sekitar 30 tahun dan mereka kemudian dibawa ke pejabat Agama Daerah Marang untuk diambil keterangan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas operasi bersepadu Penguatkuasaan Syariah bertempat di Pejabat Agama Daerah Marang di sini baru-baru ini.

Tambah Naim, seramai enam orang anggota penguatkuasa PAD Marang dan 10 sukarela terlibat dalam operasi berkenaan.

“Operasi tersebut bermula pada jam 12 malam dan berakhir sekitar jam 3 pagi yang mengharungi tinjauan beberapa hotel, chalet serta taman rekreasi di sekitar Marang.

“Kesemua tempat yang diperiksa memberi kerjasama baik sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Sementara itu, pola kes dalam Daerah Marang menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan.

“Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan anggota penguatkuasa melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya.