Home Artikel PAS Wilayah

PAS WP Ulangi Gesaan Pertahan Dr Zakir Naik

169 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
PAS Wilayah Persekutuan

PAS WP ULANGI GESAAN PERTAHAN DR ZAKIR NAIK

PAS Wilayah Persekutuan mengulangi gesaan mempertahankan Dr Zakir Naik serta tidak tunduk terhadap desakan menghantar pulang beliau ke negara India.

Meskipun keputusan untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir Naik telah pun diumumkan oleh pihak kabinet sebelum ini, malangnya masih kedengaran suara-suara yang menuntut agar beliau diekstradisi ke India.

Ironinya desakan yang agresif tersebut datangnya daripada sebahagian pimpinan komponen Pakatan Harapan itu sendiri, sekaligus menggambarkan perpecahan yang kian ketara serta tiada kebertanggungjawaban yang kolektif terhadap keputusan yang diambil.

Dari pandang sisi yang lain, tindakan Kerajaan India pimpinan Narendra Modi yang telah membatalkan status khas Jammu dan Kashmir melalui Perkara 370 menjelaskan betapa tegarnya ideologi nasionalis Hindu beliau serta bersifat anti-Islam.

Justeru, jika nasib tujuh juta masyarakat Kashmir yang bermajoriti Islam itu tidak diberikan ruang bersuara dan ditindas tanpa rundingan, bagaimana mungkin seseorang itu menjamin keselamatan dan keadilan kepada seorang tokoh pendakwah Islam yang sudah sekian lama menjadi musuh mereka jika beliau dihantar ke sana?

Maka sewajarnya umat Islam hari ini melihat isu ini dengan kaca mata yang lebih luas khususnya melibatkan survival umat Islam. Saya menggesa supaya umat Islam serta semua rakyat di negara ini agar bersatu mempertahankan tokoh pendakwah yang terkenal ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
Khamis, 21 Zulhijjah 1440H | 22 Ogos 2019