Oleh : Muhammad Abdul Fateh
Kuala Lumpur, 23 Ogos 2025 – Sempena Konvensyen & Liqa’ Fikri 2025 yang berlangsung pagi tadi di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), PAS Wilayah Persekutuan telah menyampaikan Anugerah Tokoh Khas sebagai tanda penghargaan kepada tiga tokoh yang telah menginfakkan seluruh kehidupan mereka demi perjuangan Islam.
Penghargaan istimewa ini disampaikan oleh Bendahari PAS Pusat, Dato’ Ar. Iskandar Samad, yang mewakili kepimpinan tertinggi parti.
Anugerah ini menjadi simbol penghargaan parti terhadap pengorbanan dan jasa besar yang dicurahkan oleh mereka sepanjang puluhan tahun bersama PAS. Ketiga-tiga tokoh yang menerima penghargaan ini bukan sahaja menjadi pemimpin yang dihormati, bahkan menjadi pendidik, pembimbing dan penggerak utama dalam membina kekuatan jemaah di Wilayah Persekutuan.
Ustazah Hajah Nuridah Md. Salleh: 26 Tahun Mengemudi Muslimat Wilayah
Tokoh muslimat ini mula memimpin Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sejak 1999 dan terus istiqamah sehingga tahun 2025. Sepanjang tempoh 26 tahun kepimpinan, beliau menjadi tunjang kebangkitan saf muslimat di ibu kota dengan pendekatan mendidik, menyantuni masyarakat, menggerakkan tarbiah serta menjadi penyambung suara wanita Islam di medan perjuangan.
Keteguhan dan kesetiaan beliau membuktikan bahawa perjuangan Islam bukan sekadar tanggungjawab politik, tetapi satu pengorbanan seumur hidup. Ramai kader muslimat hari ini lahir daripada bimbingan dan sentuhan kepimpinannya.
Ustaz Dr. Hj. Md. Ali Jamil: Ulama Pewaris Perjuangan
Mantan Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan ini dikenang sebagai sosok alim yang sentiasa mengutamakan dakwah dan ilmu dalam perjuangan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Lembah Pantai (1995–1997), Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (2007–2011), Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan (2015–2023) dan turut memimpin sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Cheras selama 22 tahun (1999–2021).
Sumbangan beliau dalam membina kekuatan ulama di Wilayah Persekutuan menjadikan institusi Dewan Ulama lebih tersusun dan dihormati, sekaligus mengangkat martabat PAS sebagai gerakan dakwah dan tarbiah.
Haji Amran Abd. Majid: Kesetiaan dan Kecekalan Pejuang Kawasan
Seorang lagi tokoh yang diraikan ialah Hj. Amran Abd. Majid, Yang Dipertua PAS Kawasan Kepong. Beliau mula berkhidmat sejak awal 1990-an sebagai Setiausaha Kawasan Kepong (1993–1995) sebelum dipilih menerajui kepimpinan kawasan pada tahun 2011 hingga kini. Selain itu, beliau turut memegang amanah sebagai Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (2011–2015).
Beliau dikenali sebagai pemimpin setempat yang dekat dengan masyarakat, berjiwa rakyat, dan tidak pernah jemu berkhidmat walau berdepan cabaran getir dalam medan politik ibu kota.
Pengiktirafan Pengorbanan Seumur Hidup
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Azhar Yahya, dalam ucapannya menegaskan bahawa anugerah ini adalah tanda terima kasih jemaah terhadap insan-insan yang telah banyak menabur bakti tanpa mengenal penat lelah.
“Mereka telah menginfakkan masa, tenaga dan jiwa demi memastikan dakwah dan perjuangan Islam terus teguh di bumi Wilayah Persekutuan. Semoga pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mara ke hadapan,” ujar beliau.
Dengan penghargaan ini, PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa jasa dan sumbangan para pejuang terdahulu tidak akan dilupakan, bahkan akan terus menjadi pendorong dan penyuluh jalan buat generasi penerus perjuangan.