
Oleh :- Muhammad Abdul Fateh
Karambunai, 28 November :Sokongan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Karambunai, Datuk Dr. Ali Akbar, terus diperteguh apabila pimpinan PAS Wilayah Persekutuan turun padang bagi memberikan sokongan padu menjelang hari terakhir kempen.
Turut hadir dalam siri jelajah kempen ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan (JPN WP), Haji Abu Bakar Abdul Rahman, serta pimpinan PAS Labuan yang bersama-sama menggerakkan jentera tempatan.
Seramai 60 orang jentera PAS Wilayah Persekutuan kini masih berkampung di Karambunai, terus menyantuni masyarakat, mengukuhkan rangkaian sokongan dan memastikan mesej perjuangan PN sampai kepada setiap kelompok pengundi.
Ustaz Azhar Yahya mengajak pengundi Karambunai serta rakyat Sabah untuk memilih kepimpinan yang mempunyai rekod bersih dan memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Kami menyeru semua pengundi agar memilih calon Perikatan Nasional di seluruh DUN yang ditandingi PN. Inilah masa untuk membawa Sabah ke arah pentadbiran yang lebih telus, amanah dan stabil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPN WP, Haji Abu Bakar Abdul Rahman, turut menyampaikan seruan semasa kempen kepada seluruh pengundi Sabah agar memberi peluang kepada PN memerintah demi masa depan negeri.
“Sabah perlu sebuah kerajaan yang kuat dan berprinsip. Berilah peluang kepada Perikatan Nasional memimpin Sabah untuk membawa pembaharuan, membela rakyat dan memastikan pentadbiran yang lebih teratur dan berintegriti,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa gerak kerja jentera PAS WP dan sokongan rakyat setempat menunjukkan mood perubahan semakin jelas di Karambunai.
Malam ini, pimpinan PAS WP serta jentera akan turut hadir dalam Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional, yang dijangka menghimpunkan ribuan penyokong menjelang detik akhir kempen sebelum hari mengundi.





