Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN BANTAH CADANGAN MCA HIDUPKAN SEMULA PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN (PBT)

9
SHARE

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan merujuk kepada kenyataan MCA yang menggesa kerajaan Perpaduan supaya mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan (undi ketiga) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

PAS Wilayah Persekutuan menegaskan pendirian membantah keras cadangan tersebut atas beberapa faktor utama:

1. Membuka Ruang Polarisasi dan Dominasi Kaum di Bandar

Sejarah telah membuktikan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan pernah menimbulkan ketegangan kaum serta ketidakseimbangan representasi masyarakat bandar. Cadangan MCA ini hanya akan membuka semula ruang polarisasi kaum, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang mempunyai komposisi penduduk majmuk.

2. DBKL dan Agensi Wilayah Persekutuan Telah Memadai

Dengan adanya Ahli Parlimen, Datuk Bandar serta kementerian khusus (Kementerian Wilayah Persekutuan), suara rakyat telah pun disalurkan. Mekanisme sedia ada seperti mesyuarat penduduk, Rukun Tetangga, persatuan penduduk, serta Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) sudah mencukupi untuk menyalurkan aspirasi rakyat tanpa perlu menambah lapisan politik baharu.

3. Mengelakkan Beban Kos dan Ketidakstabilan

Mengadakan pilihan raya tempatan akan memerlukan peruntukan besar, sedangkan bajet negara kini lebih wajar difokuskan kepada menangani kos sara hidup, perumahan, kesihatan dan pendidikan rakyat. PAS WP berpandangan cadangan MCA ini lebih berbau kepentingan politik parti tertentu berbanding keperluan rakyat sebenar.

4. Risiko Tadbir Urus yang Tidak Stabil

Dengan memberi ruang kepada pihak tertentu menguasai Dewan Bandaraya atau majlis tempatan melalui pilihan raya, ia berpotensi mewujudkan percanggahan dasar antara kerajaan pusat dengan kerajaan tempatan, sekali gus melumpuhkan kelancaran pentadbiran bandar raya.

5. Fokuskan Kepada Isu Rakyat, Bukan Agenda Politik Sempit

PAS Wilayah Persekutuan menyeru semua pihak termasuk MCA agar menumpukan perhatian kepada isu sebenar rakyat bandar antaranya kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan, keselamatan awam, peluang pekerjaan serta tekanan kos sara hidup berbanding menghidupkan agenda politik lama yang tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.

Sehubungan itu, PAS Wilayah Persekutuan berpendirian bahawa cadangan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah satu langkah mundur, membazirkan sumber, dan hanya menguntungkan pihak-pihak politik tertentu.

Kami menggesa kerajaan untuk menolak sebarang usaha menghidupkan semula undi ketiga, dan sebaliknya memperkukuh mekanisme sedia ada supaya suara rakyat bandar terus didengar tanpa perlu menambah ketegangan politik yang tidak perlu.

“Membina Bandar Raya Sejahtera, Bukan Memperjudikan Suara Rakyat”

Yang benar,

USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

2 September 2025/8 Rabiul Awwal 1447H