Kenyataan Media
CALON PM : PAS TIDAK KALUT KERANA TIDAK KETANDUSAN PEMIMPIN
(18 Januari 2018)
Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menempelak cabaran Tun Dr Mahathri Mohamad yang mahukan PAS menamakan calon Perdana Menteri daripada PAS. DUPWP sependapat dengan pimpinan PAS bahawa menamakan calon PM bukan keutamaan sekarang, kerana yang paling utama adalah PAS memenangi PRU ke 14 terlebih dahulu.
DUPWP percaya, PAS tidak akan terperangkap dengan cabaran Tun Dr Mahathir yang mahu memperlekeh kepimpinan PAS dan menganggap PAS tidak mampu menamakan calon PM kerana tidak ada calon yang layak. Semua pucuk kepimpinan bersepakat bahawa memenangi PRU ke 14 adalah keutamaannya dan semua jentera dan calon perlu mengembeling tenaga bagi memastikan kemenangan dicapai dalam PRU ke 14. PAS tidak mahu disibukkan dengan polemik calon PM yang akhirnya nanti akan menyibukkan PAS dengan membicarakan tokoh tersebut.
Saya percaya PAS tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang sibuk dengan calon PM kerana masing-masing mereka saling menaruh harapan untuk menduduki kerusi tersebut. Jika PH tidak menyelesaikan calon PM tempohari, mereka akan berselisih dan bertelagah yang akhirnya mengundang perpecahan. Setiap parti dalam PH saling tidak percaya mempercayai serta berebut mahu menamakan calon daripada parti masing-masing. Mereka juga dilihat ketandusan pemimpin sehingga terpaksa melantik pemimpin ‘kitar semula’ yang telah berusia 93 tahun sebagai calon PM.
Di sisi PAS, ia tidak timbul kerana PAS tidak pernah berebutkan jawatan dan tidak akan bertelagah sesama sendiri bagi menduduki kerusi PM. PAS tidak pernah ketandusan kepimpinan kerana setiap calon pilihanraya bagi kerusi parlimen layak menjadi pemimpin tertinggi negara. PAS pernah membuktikan kepimpinannya pada tahun 2008 apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjaya menjadi Menteri Besar Perak setelah Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 12 walaupun tidak pernah menamakan calon awal MB Perak sebelum itu. Bahkan, PAS telah menyediakan senarai pendek calon Menteri Besar Selangor ketika krisis kepimpinan MB selangor berlaku pada tahun 2014 yang lalu. Justeru, bagi PAS, soal calon PM bukan isu yang besar kerana PAS memiliki senarai panjang kepimpinan yang hebat.
DUPWP mencabar PH agar memenangi PRU ke 14 dengan meletakkan sasaran jumlah kerusi parlimen untuk dimenangi. PAS telah mengumumkan akan bertanding sejumlah 130 buah kerusi dengan sasaran 40 buah kerusi bakal dimenangi. PAS berani meletakkan sasaran melalui kajian dan persiapan rapi, dan dari sudut PH, berapa kerusi yang mampu mereka menangi dalam PRU ke 14 ini? Sepatutnya inilah yang menjadi keutamaan PH kerana tanpa sasaran dan kemenangan dalam PRU ke 14, meletakkan calon PM hanyalah sekadar angan-angan yang tidak kesampaian.
DR (DR) HJ MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan