Kuala Lumpur, 19 November 2016 – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Titiwangsa telah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang di Masjid Khalid Al Walid, Dato’ Keramat.
Majlis gilang gemilang ini telah melibatkan penyertaan seramai 196 orang pelajar berusia 6 tahun dan 21 orang Pelajar Cemerlang tahap 1, 2 dan 3. Dianggarkan seramai 600 orang ibu bapa turut hadir meraikan kejayaan anak-anak mereka.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Raihan Abdul Aziz, Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa. Turut hadir sama ialah Ustaz Suhaimi Abdul Aziz, Ketua Pemuda Pas Titiwngsa; Mohd Abdul Azim Awi, Pengerusi PASTI Titiwangsa dan Cikgu Yusoop Abdul Hamid, aktivis Pasti Titiwangsa yang juga merupakan ahli jawatan kuasa Pas Titiwangsa dan Lujnah Kebajikan Pas Pusat.
Antara hadiah menarik dalam majlis kali ini ialah pelajar cemerlang berusia 5 dan 6 tahun menerima sebuah basikal setiap seorang.
Dalam ucapan perasmian, Ustaz Raihan menyatakan bahawa PASTI adalah bukti kejayaan PAS dalam bidang pendidikan. Membuktikan bahawa PAS bukan sekadar hebat di pentas politik malah juga hebat di bidang pendidikan. Antara perkara membanggakan ialah PASTI tetap menjadi pilihan ibu bapa di ibu kota kerana teras pendidikannya berasaskan kepada pendidikan Islam.
“Saya juga mengharapkan agar ibu bapa menbantu PASTI dengan melaksanakan bayaran tanpa tunggakan. Gaji guru di PASTI tidak besar mana tetapi pengorbanan mereka perlu dihargai. Malahan jika ibu bapa mendapat lebihan bonus jangan lupa berkongsi dengan guru-guru yang mendidik anak-anak kita.” ujar beliau.
Menurut beliau lagi adab antara ibu bapa dan guru juga perlu dijaga agar mendapat keberkatan kepada anak-anak yang menuntut ilmu. Tidak salah menegur dan memperbaiki guru tetapi hendaklah dengan cara yang sopan dan beradab.
Diharapkan PASTI akan terus menjadi sebuah institusi pilihan serta dekat dihati ibu bapa dan terus mengekalkan kecemerlangan khasnya di ibu kota Kuala Lumpur.
aura
Berita