Oleh :- Muhammad Abdul Fateh
Foto :- Nadim Al-Fattah
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama Surau Sakinah telah menganjurkan program ibadah korban dan santunan masyarakat yang berlangsung meriah di kawasan lapang Surau Sakinah, PPR Gombak Setia.
Program yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat ini menyaksikan sebanyak 2 ekor lembu korban pada tahun ini. Penyembelihan dan agihan daging korban dilakukan dengan penuh tertib dan mematuhi garis panduan syariah serta kebersihan yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Program, Saudara Abdul Majid, penganjuran aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan sunnah korban, tetapi juga sebagai platform menyantuni masyarakat setempat, khususnya di kawasan PPR yang memerlukan perhatian dan penglibatan berterusan daripada pihak-pihak berkepentingan.
Turut hadir memberi semangat dan menyantuni anak-anak muda tempatan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju, Saudara Beyhaqi Ramli, yang mengambil peluang beramah mesra serta menyampaikan mesej kesatuan dan kepedulian sosial.
Timbalan Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Haji Azhar Omar, turut meluangkan masa bersama penduduk PPR Gombak Setia, menzahirkan komitmen PAS dalam mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang, sambil menyeru agar semangat pengorbanan terus dijadikan asas dalam membina masyarakat penyayang dan berakhlak.
Kemeriahan program jelas dirasai dengan penyertaan aktif penduduk sekitar, termasuk warga emas, wanita, serta generasi muda yang hadir membantu dan memeriahkan suasana sepanjang majlis berlangsung.
PAS Wangsa Maju merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya pengurusan Surau Sakinah dan yang terlibat menjayakan program ini, serta beriltizam untuk terus mendekati masyarakat menerusi aktiviti kebajikan, dakwah dan kemasyarakatan sepanjang tahun.