Oleh :- Muhammad Abdul Fateh
Foto :- Nadim Al-Fattah
WANGSA MAJU, 12 Jun 2025 – Dengan penuh keinsafan dan semangat ukhuwah Islamiah, PAS Kawasan Wangsa Maju telah menganjurkan Majlis Tahlil dan Munajat bertempat di Markas PAS Kawasan Wangsa Maju.
Majlis yang bermula selepas solat Maghrib ini menghimpunkan ahli dan penyokong dari segenap pelusuk kawasan yang hadir bagi memperingati roh para pejuang Islam, memohon keampunan Ilahi, dan memperteguhkan jiwa dalam meneruskan perjuangan Islam yang suci ini.
Antara pengisian utama adalah Taujihat Khas yang disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud, yang menekankan peri pentingnya kesabaran dan istiqamah dalam menghadapi cabaran semasa umat Islam. Beliau turut menyeru agar jemaah terus berdoa dan memperkukuh saf perjuangan demi masa depan Islam di Wilayah Persekutuan khususnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran istimewa Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Azhar Yahya serta Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan, yang memberi suntikan semangat kepada para hadirin agar terus beristiqamah dan bersatu hati dalam gerak kerja jemaah.
Firman Allah SWT yang menjadi pegangan malam itu:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)
Majlis diakhiri dengan munajat penuh keinsafan dan tahlil buat para syuhada’ dan pejuang Islam yang telah mendahului kita. Jamuan ringan turut disediakan sebagai simbol kasih dan hormat sesama ahli jemaah.
PAS Wangsa Maju merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir dan menyeru agar momentum kesatuan ini diteruskan demi kemenangan Islam yang hakiki.