Home Berita PAS Wilayah

PAS Titiwangsa Jayakan Ibadah Korban Lima Ekor Lembu: Ukhwah & Kepedulian Diperkasa

2
SHARE

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2025 – PAS Kawasan Titiwangsa terus komited menyemarakkan semangat Aidiladha melalui penganjuran Program Ibadah Korban melibatkan penyembelihan lima ekor lembu yang berlangsung di Transit Pembangunan Darul Ummah (PADU), PASTI Al-Hikmah, Kampung Pandan.

 

Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan kehadiran lebih 60 petugas terdiri daripada ahli PAS cawangan-cawangan, Pemuda dan Muslimat. Majlis dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengarah Program, Tuan Haji Wan Zulkifli, diikuti doa.

 

Lembu korban disembelih di kandang pembekal di Rawang sebelum dihantar ke lokasi untuk proses melapah, membungkus dan agihan. Petugas lelaki menguruskan kerja-kerja lapah dan potong daging, manakala Muslimat pula bergotong-royong menyediakan juadah tengah hari.

 

Setiap peserta menerima agihan daging, sementara 1kg diperuntukkan khas untuk agihan kepada golongan asnaf dan fakir miskin di sekitar Titiwangsa.

 

Majlis kemuncak berlangsung pada jam 1.30 tengah hari dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa, Tuan Hedzer Ibrahim, bersempena majlis agihan daging kepada peserta, petugas serta wakil-wakil zon agihan.

 

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program serta menekankan bahawa semangat berkorban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi simbol keikhlasan, kesatuan dan kasih sayang sesama masyarakat.

 

“Tradisi korban ini menjadi wadah untuk kita memperkukuh silaturahim dan menyantuni golongan yang memerlukan. Inilah semangat Islam yang kita ingin semarakkan dalam masyarakat,” ujar beliau.

 

Majlis diteruskan dengan solat Zohor berjemaah, jamuan makan dan sesi pembersihan kawasan sekitar sebelum ditamatkan sekitar jam 4.00 petang.

 

PAS Titiwangsa berharap program seperti ini akan terus menjadi tradisi tahunan yang menyuburkan nilai kebajikan dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

 

#pas40titiwangsa

#40tahunteguhdijalandakwahdansiasah

#PAS