Home Artikel PAS Perlis

PAS Tidak Gopoh Capai Matlamat

616
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : PAS diingatkan agar bersikap tenang dan tidak terperangkap dengan pelbagai isu yang diwujudkan oleh musuh-musuh politiknya yang bertujuan meragut keyakinan rakyat terhadap PAS.

Ini termasuklah dakwaan bahawa PAS tidak bersungguh-sungguh dalam soal pelaksanaan Hudud meskipun sudah berkuasa serta tuduhan bahawa pemimpin PAS tamakkan kuasa hingga sanggup menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Sebaliknya kata Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, seluruh pemimpin serta ahli PAS perlu sedar bahawa perjuangan parti berkenaan bukanlah semata-mata bermatlamatkan menuruti kehendak manusia tetapi mencari keredhaan Allah SWT.

Justeru katanya, sebarang dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas tidak perlu dilayan sebaliknya para pendokong parti berkenaan perlu menumpukan usaha ke arah mencapai matlamat secara berstrategi mengikut ketetapan yang telah diputuskan kepimpinan parti.

“Benarlah apa yang kita laungkan selama ini iaitu ‘Allah Matlamat Kita’ adalah dengan melaksanakan sesuatu perkara secara berperingkat, tidak boleh secara drastik.

“Maka sebab itulah (setiap) langkah yang diambil oleh PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS adalah langkah setapak demi setapak dan ini adalah bertepatan dengan sunnah yang ditunjukkan Baginda Rasulullah SAW,” katanya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis dan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini semalam.

Tegas beliau, apa yang penting PAS sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik dalam mencapai matlamatnya meskipun terpaksa mengambil masa yang amat panjang.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan ahli PAS supaya sentiasa memelihara keikhlasan mereka kerana Allah SWT di samping tidak mencari sebarang bentuk habuan lain dalam perjuangan.

“Apa yang kita perjuangkan mesti ikhlas kerana Allah SWT kerana keikhlasan itu ialah rahsia antara kita dengan Allah.

“(Ikhlas ini) malaikat yang catat amalan pun tidak tahu, syaitan pun tak boleh ganggu, perkara ini (ikhlas) mesti jelas kerana kita akan menuju ke mahkamah Allah.

“Kita kena letakkan keikhlasan di tempat yang utama dalam perjuangan, ini akan menyelamatkan kita di akhirat kelak,” katanya.