Oleh : Mustaman Bin Mustain
12 Januari 2020
KIMANIS : PAS adalah parti yang sah berdaftar dengan Perlembangaan Malaysia dan tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan ekstrem di mahkamah.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengulas tuduhan yang mengatakan PAS adalah parti ekstrem hanyalah bersifat retorik politik yang dilemparkan oleh musuh PAS lebih-lebih lagi dalam musim pilihanraya.
“Semua orang boleh menyebut retorik, tetapi retorik yang sedemikian rupa jika tidak disertakan dengan bukti, ini bertentangan dengan konsep demokrasi,” kata Menteri Besar Terengganu itu ketika ditemui di Pasar Tamu Membakut, dekat sini pagi tadi.
“Kami parti PAS, parti yang berdaftar dan sah dalam perlembagaan Malaysia dan tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan ekstrem dan sebagainya,” jelasnya.
Ketika berkempen baru-baru ini, Presiden Warisan, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan PAS sebagai sebuah parti Islam yang ekstrem kini bekerjasama dengan UMNO.
Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau juga mendakwa PAS sebuah parti yang ekstrem semasa menghadiri majlis perayaan Krismas di pekan Membakut pada 4 Jan lalu.