Home Artikel PAS Perlis

PAS Tetap Mara Meskipun Dibadai Fitnah

1057
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KANGAR : Mereka yang cerdik pasti akan mencari kebenaran di sebalik segala fitnah yang dilemparkan kepada PAS, demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Azmir Bin Azizan.

Menurutnya, meskipun sentiasa PAS dihujani dengan pelbagai fitnah dan tomahan, sokongan terhadap parti itu tidak pernah surut malah perkara sebaliknya pula yang berlaku.

“Kini, hampir setiap bulan Mesyuarat PAS Pusat meluluskan lebih banyak keahlian, walaupun setiap masa musuh menyerang, kita tetap bertahan.

“Kita diibaratkan seperti sebuah kapal di tengah lautan, walaupun ombak membadai dari setiap arah, kapal itu tetap berlayar dan tidak tenggelam,” jelasnya penuh semangat ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar Kali Ke-44 di Markas PAS Cawangan Padang Kota, dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, faktor terpenting mengapa PAS diibaratkan sebuah kapal ini terus ampuh melayari bahtera perjuangan ialah asbab dari dasar yang dibawa oleh parti PAS itu sendiri.

Tambah beliau lagi, PAS yang dibina oleh para alim ulama ini meletakkan Islam sebagai dasar serta matlamat utama perjuangannya.

“Oleh itu, datanglah apa pun ujian, PAS akan terus bergerak,” tegasnya.

Beliau juga menceritakan perihal Nabi Muhammad SAW yang pernah membuat satu perumpamaan jemaah Islam dengan sebuah kapal.

“Apabila orang di bahagian bawah kapal hendak menebuk perut kapal untuk mengambil air, ia mesti dihalang, jika tidak, keseluruhan kapal akan tenggelam.

“Kalau kita mabuk laut sekalipun, jangan sesekali terfikir untuk melompat ke dalam kapal lain walaupun muatannya tampak lebih lumayan kerana destinasi setiap kapal itu pasti berbeza,” jelas beliau.

Faktor kedua yang mengukuhkan PAS sehingga kini menurutnya adalah disebabkan sumber rujukan PAS iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias manakala faktor seterusnya pula adalah institusi Majlis Syura Ulama’.

“Apabila jemaah hendak membuat sesuatu keputusan, maka akan dirujuk kepada empat perkara ini (Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias).

“Selain itu, kita juga mempunyai institusi Majlis Syura Ulama’. Merekalah yang duduk dan berbincang untuk menentukan dasar parti,” katanya.

Beliau turut menambah, ahli PAS diajar adanya perkara tsawabit dan perkara mutaghayyirat yang membolehkan mereka memahami dasar PAS yang tetap manakala pendekatan parti berkenaan pula berstrategi dan fleksibel serta berubah-ubah agar sesuai dengan suasana dan masa.

Justeru, beliau menyeru kepada ahli yang hadir terutamanya untuk menjaga serta memahami setiap dasar yang dibawa oleh PAS di samping memelihara serta mempertahankan rahsia kekuatan yang dibawa oleh PAS.