Home Berita PAS Pahang

PAS Teraju Pahang / DHPP merapatkan bukan Islam kepada PAS

200
SHARE

 

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 18 Sept – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus berusaha untuk merapatkan jurang antara PAS dan komuniti bukan Islam.

“Kami sedar masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan untuk memecahkan jurang ini bukanlah perkara yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat,” kata Ahli Jawatankuasa DHPP Jason, petikan dari China Press hari ini.

Tambahnya, DHPP telah aktif memberi penerangan mengenai perjuangan dan ideologi mereka kepada masyarakat bukan Islam dan akan terus berusaha untuk merealisasikan visi PAS Teraju Pahang sebagai persediaan  menghadapi PRU ke-16.

“Kami juga sedar bahawa ini adalah satu cabaran besar yang menguji semangat, fizikal, dan ketahanan kami, tetapi kami tidak akan berundur,” tegas beliau.

Dalam pada itu, DHPP dan PAS Kuantan telah menerima jemputan dari usahawan muda ke Pusat Jagaan Orang Tua Grannies di Alor Akar Ahad lalu, namun wakil PAS iaitu Penyelaras PAS Semambu Ustaz Zulfadli Zakariah dan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor tidak dapat hadir kerana menghadiri Muktamar PAS di Temerloh.

“Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kami untuk memahami keadaan sebenar di rumah orang tua tersebut, malah ianya juga membuktikan PAS semakin diterima oleh sebahagian masyarakat Cina dan India melalui lawatan ini serta lawatan terdahulu yang dianjurkan oleh Persatuan Buddha Pahang.

“Kami berharap agar lawatan sebegini dapat meningkatkan pemahaman budaya antara satu sama lain dan memupuk perpaduan antara kaum,” kata beliau lagi.

Beliau seterusnya melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada pengurus pusat jagaan yang dikenali sebagai Robert, dan penyumbang barangan dapur iaitu Ketua Lembaga Kebajikan Gong Yee Ling, Pengurus  Open Space Art Studio See Gui Zhong serta pengurus program Low Si Li di atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan.