Oleh: Ummu Nidhal
TELUK INTAN: Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah PAS Teluk Intan telah melancarkan kempen Kibar Bendera PAS bersempena Ulangtahun ke-70 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 24 November yang lalu.
Pengarah Program, Muhammad Rizal Abu Bakar berkata objektif utama kempen Kibar Bendera PAS ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat juang kepada seluruh ahli PAS Teluk Intan terutamanya dalam menghadapi pilihanraya ke-15 tidak lama lagi.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Teluk Intan berharap melalui kempen Kibaran Bendera ini dapat menyerlahkan keberadaan PAS di tengah-tengah masyarakat.
Gimik pelancaran Kempen Kibaran Bendera PAS telah diadakan baru-baru ini dengan acara penyerahan bendera PAS di tiga cawangan terpilih iaitu Cawangan Kampung Padang Tembak, Kampung Bahagia dan Desa Aman.
Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Muhammad Azhar Rafie yang hadir menyempurnakan acara penyerahan bendera berkata, kempen Kibaran Bendera PAS ini amat bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-70 PAS di persada politik tanah air.
Katanya, 70 tahun menggambarkan usia perjuangan yang cukup matang bagi PAS sebagai salah sebuah parti Melayu tertua di negara ini selain Umno.
“Kerana itu PAS perlu menonjolkan diri dengan menjuarai isu-isu kemasyarakatan dan kebajikan masyarakat setempat. Produk PAS seperti PASTI (dan) SRITI perlu diketengahkan supaya keterlibatan PAS dalam membangunkan sistem pendidikan Islam nampak menyerlah,” ujar beliau lagi.
Manakala Setiausaha PAS Cawangan Kg. Bahagia, Syahibuddin Said pula menzahirkan penghargaan atas kehadiran YDP dan ajk PAS Kawasan bagi menyerahkan bendera ke cawangan-cawangan.
Beliau yang mewakili PAS Cawangan Kg Bahagia menegaskan pihaknya akan bersedia memikul arahan pimpinan dan berusaha mengibarkan bendera PAS di markaz PAS cawangan dan di rumah-rumah ahli PAS.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen yang diadakan sepanjang Disember ini ialah pertandingan cawangan paling aktif dan kreatif dalam menghias premis PAS cawangan masing-masing dengan kibaran bendera, replika dan lanskap yang bertemakan Ulang Tahun ke-70 PAS.
Turut hadir memeriahkan sesi penyerahan bendera ialah Timbalan Yang DiPertua, Rostam Malek; Penolong Setiausaha, Zamzuri Din; Ketua Penerangan, Hafizul Badrul Hisham; Ketua Muslimat, Robi’atun Mohd Abas serta beberapa pimpinan kawasan, Pemuda dan Muslimat.