Home Artikel PAS Sabah

PAS Silam Sambut Aidiladha Bersama Masyarakat Kampung Lormalong

327
SHARE

Oleh: Juliana Hamid
2 Ogos 2020

KUNAK: Program Qurban yang dianjurkan setiap tahun oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Cawangan Pekan dan Cawangan Mostyn disambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran, walaupun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan perlu mematuhi SOP, di sini semalam.

Sebanyak 6 ekor lembu disembelih dalam program kali ini yang bermula seawal jam 6.00 pagi dan diketuai oleh Haji Ajah bin Haji Rasin selaku Imam Masjid Daerah, merangkap pengerusi Masjid Nur Hidayah, Kampung Lormalong.

Program qurban dimulakan dengan ucapan dari Ketua Kampung Lormalong iaitu Jumat Bin Raska dengan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memeriahkan sambutan Aidiladha di kampung mereka.

“Semoga usaha dan ibadah qurban yang dibuat tahun ini dapat mengeratkan lagi hubungan kita kepada Allah dan mendapat keberkatan dari-Nya.” Tambah Jumat.

Turut hadir menjayakan program ini adalah wakil Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan Pekan serta Cawangan Mostyn bersama ahli jawatankuasa Masjid Kampung Lormalong.

Antara pimpinan PAS Kawasan Silam yang turut hadir ialah Ramli Pataruddin, YDP PAS Kawasan Silam merangkap Ketua Cawangan PAS Mostyn, Kasman Karate, Naib YDP PAS Kawasan Silam merangkap Ketua Cawangan PAS Pekan serta Sharmilah Abbas, Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Kawasan Silam.