Home Kenyataan Media Presiden PAS

PAS Seru Malaysia Menyokong Tindakan Gambia

513
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

PAS SERU MALAYSIA MENYOKONG TINDAKAN GAMBIA


PAS mengambil maklum berkenaan kes yang dibawa oleh Gambia terhadap Myanmar ke International Court of Justice (ICJ) yang dibicarakan pada 10 Disember 2019 di The Hague.

PAS menyatakan solidariti dan sokongan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh Gambia dalam mengekang tindakan penghapusan kaum yang dilakukan oleh negara terbabit.

Walaupun Gambia merupakan sebuah negara kecil secara relatif berbanding 152 negara lain yang telah meratifikasi “Genocide Convention 1948”, namun negara itu terlebih dahulu mengambil tindakan undang-undang terhadap Myanmar di mahkamah tertinggi dunia, ICJ di atas kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya.

Perlu ditekankan bahawa kekejaman kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya adalah suatu pelanggaran hak asasi manusia. Malah, ajaran agama juga melarang penganiayaan kepada manusia.

Justeru itu, PAS menyeru agar usaha berani Gambia yang dikira sebagai “unprecedented case” disokong oleh Malaysia sebagai satu bentuk sokongan bilateral, selain sokongan yang diberikan melalui OIC di peringkat multilateral.

PAS juga berharap dengan bermulanya perbicaraan mengenai salah laku dan kekejaman kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya akan membawa pesalah ke muka pengadilan antarabangsa.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 14 Rabiul Akhir 1441 / 11 Disember 2019