Oleh: Fadilah Nordin
10 Jun 2025
SEPANGGAR: Sebanyak 500 pek daging korban telah diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar kawasan Sepanggar dalam program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang berlangsung pada 7 hingga 9 Jun, kelmarin.
Edaran daging korban ini melibatkan beberapa kampung dan taman di sekitar Sepanggar termasuk Kampung Bandulan, Kampung Selimbangun, Kampung Tebobon Baru, Kampung Boronuon, Kampung Kuala Menggatal, Kampung Lok Poring, Kampung Pulau Sepanggar, Kampung Wak Wak, Kampung Ratau, Kampung Penempatan Telipok serta Taman Jaya Diri dan Kampung Suang Parai.
“Program Korban Perdana ini dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan aktiviti menyembelih, melapah dan mengedar daging korban dengan kerjasama PAS Kawasan Sepanggar, NGO-NGO dan orang-orang kampung,” kata Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah.
Menurut Aliakbar juga, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menunaikan ibadah korban tetapi juga sebagai wadah mengeratkan silaturrahim antara golongan yang mampu menunaikan ibadah korban dan masyarakat yang memerlukan khususnya golongan asnaf.
“PAS Kawasan Sepanggar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, petugas dan penduduk kampung yang sama-sama menjayakan program ini, semoga usaha murni sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau lagi yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Sepanggar.
Turut hadir Pegawai Khas YB Datuk Dr Aliakbar Gulasan, Hasruddin Syamsuddin dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Rizal Latif.