Oleh: Asrinah Datu Robinson
29 Disember 2024
SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna dengan kerjasama Ikhtiar Ihsan Care (IIC) dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) memberikan bantuan berbentuk pek makanan kepada 50 orang penduduk di dewan Kampung Pulau Bait di sini, baru-baru ini.
Ketua Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan PAS kawasan, Razis Asparin berkata, ini kali pertama PAS mewakili parti politik memasuki kampung itu untuk menghulurkan bantuan.
Ketua kampungnya, Abdul Mumin Ramit menzahirkan rasa syukur kerana masih ada parti politik dan NGO datang ke kampung mereka untuk memberikan bantuan kepada penduduk kampung.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada PAS Semporna dan Ikhtiar Ihsan Care kerana sudi bertandang untuk memberikan bantuan kepada penduduk kampung kami,” katanya.
Menurut Pengerusi IIC, Ustaz Mohd Fakaruddeen Che Omar ini kali kedua Allah takdirkan mereka sampai ke Semporna dan memilih kampung tersebut bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Turut hadir Ketua Pemuda PAS Kawasan, Muhammad Huzaini Rohani serta beberapa ahli jawatankuasa, penduduk kampung dan ahli PAS Kawasan Semporna.