Home Berita PAS Pahang

PAS Semambu terus beri sumbangan pasca banjir

134
SHARE

Oleh: KHASDI KOSNIN

SEMAMBU, 27 Jan :: Pasca banjir adalah merupakan situasi yang perlu diambil kira oleh pihak yang berwajib agar rakyat yang terkesan terus terbela dan mendapat pembelaan.

Keprihatinan PAS terhadap mangsa-mangsa banjir adalah merupakan asas yang menjadi nadi kepada parti ini untuk terus memberikan khidmat yang terbaik.

Lantaran itu PAS Cenderawasih terus mengorak langkah prokatif dengan memberikan sumbangan kepada 74 orang mangsa banjir yang merupakan ahli–ahli PAS di cawangan tersebut termasuk golongan asnaf seramai 10 orang yang terkesan banjir di Markas PAS Chenderawasih, di Kuantan baru-baru ini.

Ketua PAS Cawangan Chenderawasih, Ahmad Hasan berkata, selain dari tujuan menyampaikan sumbangan ia juga bertujuan untuk menyantuni dan bertanya khabar kepada ahli-ahli PAS, yang sentiasa memberi sokongan dan komitmen dalam parti.

Sumbangan yang diberi adalah dalam bentuk tilam toto, selimut, bantal dan barangan elektrik yang merupakan sumbangan dari orang ramai yang sangat prihatin terhadap mereka yang terlibat.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Zulfadhli Zakaria, yang turut sama dalam program ini menyampaikan sumbangan berkata, “Secara tidak langsung aktiviti ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan PAS cawangan dengan ahli-ahli PAS dan masyarakat.

“Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk, oleh itu kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT untuk memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi ujian ini.

“Disebalik ujian ini ada rahmat Allah untuk meningkatkan darjat hamba-Nya yang disayangi,” ujarnya lagi.

Salah seorang dari penerima sumbangan, Nik Hasan@Nik Yusof Nik Mat (77) merasa terharu dan berterima kasih atas keprihatinan PAS cawangan yang sentiasa memberi perhatian kebajikan kepada penduduk.

Program ini juga disertai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan dan AJK Muslimat PAS Cawangan.