Home Berita PAS Pahang

PAS Semambu edar pulut kuning dan rendang ayam semasa Tahun Baru Cina

153
SHARE

Oleh: KHASDI KOSNIN

INDERA MAHKOTA, 3 Feb :: Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut dengan penuh harmoni dan kegembiraan oleh masyarakat Tionghua walaupun pandemik Covid-19 masih pada tahap mematuhi Standard Operation Procedure (SOP).

PAS Semambu dengan ahli jawatan kuasanya dari 13 cawangan telah menggerakkan satu program menyantuni mereka dengan mengedarkan sebanyak 120 pek pulut kuning dan rendang ayam sekitar cawangan-cawangan DUN Semambu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum PAS Indera  Mahkota, Rahimi Roslan yang mengetuai program ini berkata, program ini amat baik untuk PAS menyantuni masyarakat Cina bagi membuktikan bahawa PAS tidak pernah bersifat prejudis kepada masyarakat bukan-Islam.

“Sejarah Islam terdahulu jelas menunjukkan masyarakat majmuk telah pun wujud di bawah pemerintahan Islam dan tidak mengabaikan kebajikan mereka malahan tetap diberikan keadilan yang sama sebagaimana warganegara yang menganut Islam yang lain,” kata Rahimi.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah yang turut sama menyampaikan sumbangan tersebut berkata, program ini disambut baik oleh kaum Tionghua dan mengharapkan agar hubungan yang baik sentiasa terjalin untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai Keluarga Malaysia.

Hadir sama dalam program ini adalah Ketua Cawangan PAS Cenderawasih, Ahmad Hasan bersama ahli jawatankuasanya, juga ahli jawatankuasa dari cawangan Bukit Sekilau, LKNP, Pasdec Makmur IM2, Kotasas, Kampong Padang, Taman Impian, Indera Mahkota 1, Paya 3, Indera Mahkota 14  dan Bukit Setongkol.