“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor
Oleh : Umar Al-Hayawi
Bangi | Bukan hanya rakyat sahaja yang merana sewaktu musim pandemik Covid-19 ini, namun para barisan hadapan negara turut merana memikul amanah negara membawa keamanan dan kesejahteraan negara kembali seperti asal. Olehitu, kita seharusnya sama-sama membantu para frontliners negara bagi mencapai kemenangan menentang Covid-19. PAS Selangor telah melancarkan Task Force Kempen Vaksin untuk membantu warga emas dalam misi memudahkan urusan frontliners.
Tuan Shehdi Hazrik selaku Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor menyatakan bahawa, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah melancarkan kempen “Jom Vaksin”, “Vaksin Untuk Semua” melalui penubuhan Task Force peringkat negeri yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Dato Dr Hj Ahmad Yunus bin Hairi ketika program Forum Bicara Amal Vaksin Selasa lepas.
Beliau menerangkan bahawa, kempen ini adalah bagi menyahut pelancaran Kempen “Jom Vaksin” Peringkat PAS Pusat yang dilancarkan pada 30 Mei 2021 lepas dan Kempen “Amal Vaksin” Peringkat Pemuda PAS Malaysia, maka satu Jawatankuasa Task Force Vaksin Negeri Selangor secara bersepadu telah ditubuhkan melalui Khidmat Malaysia Negeri Selangor.
Dimaklumkan pasukan Task Force ini adalah terdiri daripada gabungan Jentera Khidmat Malaysia, Pemuda, Muslimat, Ulamak dan DHPP Negeri bersama beberapa agensi-agensi di bawah PAS Negeri Selangor termasuk Jabatan Amal, Papisma, Musmedik, Briged Muslimat dan sebagainya.
Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, selain mengadakan kempen penerangan dan ceramah kelompok kepada masyarakat, pasukan ini juga akan membantu beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Selangor, mereka ini akan memberi perhatian membantu orang-orang tua atau warga emas sepanjang prosedur pengambilan vaksin nanti.
“Antara program yang boleh Jabatan Amal membantu warga emas di Selangor ini adalah membuka kauter khidmat pendaftaran vaksin, kauter pertanyaan mengenai program Vaksinasi Kerajaan, menyediakan Khidmat penghantaran ke Pusat Pengambilan Vaksin dan sebagainya”, terang beliau lagi.
Walaupun jumlah pesakit Covid-19 di Selangor tinggi, namun Selangor ketika ini juga mencatatkan pendaftaran dan penerimaan Vaksin paling tinggi, maka kempen berterusan ini mampu memastikan herd Immunity atau Immunisasi Kelompok dapat dicapai segera.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor