Oleh : Jaudin M Amin
BUKIT GANTANG, PAS Kawasan Bukit Gantang menyambut baik Program Suntikan Vaksin Covid-19 Capaian Kawasan Wabak yang diadakan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Bukit Gantang sepanjang bulan ini.
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail berkata,”Program seumpama ini sangat baik dan membantu orang awam mendapatkan vaksin Covid-19 dengan mudah dan berdekatan dengan kediaman mereka.
“Orang ramai khususnya warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kaum wanita pastinya akan memanfaatkan peluang ini. Sebanyak 1100 orang berpeluang menerima suntikan setiap hari dan ini akan membantu meningkatkan peratus imunisasi kelompok di kawasan ini.
Beliau berkata demikian sewaktu meninjau penganjuran program tersebut di perkarangan Perumahan Rakyat Simpang Perdana, Simpang di sini semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Larut Tin, Haji Bad Ali Md Noor.
Rahim yang juga Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menambah,”Terdapat permintaan daripada orang awam agar program seumpama ini dilaksanakan di beberapa mukim seperti Bukit Gantang, Changkat Jering dan Trong.
“InsyaAllah, ia akan dipertimbangkan berdasarkan jumlah pendaftaran vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera di sesuatu tempat dan peningkatan jumlah jangkitan pandemik Covid-19 di mukim tersebut”, ujarnya.
Program anjuran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berlangsung selama empat hari sehingga 27 Ogos ini bermula jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang.
Ia melibatkan enam lokaliti penduduk iaitu PPR Simpang Perdana, Taman Kaya, Taman Sungai Emas, Taman Damai, Taman Simpang Bakti dan Kampung Larut Tin.