
Oleh: AIZAL SAMSARUDDIN
6 DISEMBER 2025
SANDAKAN: PAS Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong parti yang telah bertungkus-lumus menjayakan gerak kerja sepanjang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata bahawa pengorbanan semua pihak merupakan nadi kekuatan perjuangan PAS di negeri ini.
“Usaha besar yang dicurahkan oleh jentera parti adalah bukti keikhlasan yang tidak ternilai dan tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah perjuangan PAS Sabah,” katanya.
Sahar berkata dalam kenyataannya bahawa Presiden PAS selaku Penasihat PRU Negeri Sabah serta seluruh kepimpinan pusat turut memainkan peranan penting mengemudi gerak kerja secara tersusun.
“Pasukan penerangan dan jabatan pilihan raya yang bekerja tanpa mengenal penat lelah telah memastikan rakyat menerima maklumat yang jelas dan tepat sepanjang tempoh kempen,” tambahnya.
PAS Sabah turut menyatakan bahawa jumlah undi yang diperoleh di beberapa kawasan seperti N71 Tanjung Batu, N72 Merotai, N67 Balung, N63 Kunak dan N23 Petagas sangat memberangsangkan walaupun belum berjaya memenangi kerusi berkenaan.
Dalam kenyataan itu juga Sahar menzahirkan penghargaan khusus kepada kejayaan Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang memenangi kerusi N16 Karambunai dengan majoriti 364 undi setelah 40 tahun PAS bertapak di Sabah.
“Kemenangan tersebut adalah hasil kesungguhan semua pihak dan kamu adalah insan terbaik dalam mengangkat nama perjuangan ini di persada politik negara,” ujarnya.





