Home Artikel PAS Sabah

PAS Sabah buat laporan polis terhadap Guan Eng

1002
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
27 Ogos 2020

KALABAKAN: PAS Sabah diwakili Ketua Penerangannya, Haji Ahmad Dullah telah membuat laporan polis berkenaan isu projek rundingan terus yang melibatkan mantan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng di sini semalam.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu turut disertai oleh Ustaz Roslan Ramli, Ketua Urusan Ulama PAS Kalabakan dan pemimpin Bersatu Sabah diwakili Azmie Hj Abdul Wahid, Setiausaha Bahagian Kalabakan, Haji Hadi Karim, Ketua Penerangan Kalabakan dan Samsiah Usman, Bendahari Kalabakan.

Menurut Haji Ahmad, laporan ini dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh pihak PDRM terhadap Lim Guan Eng.

Katanya, hasil pembentangan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di parlimen mendedahkan bahawa, sebanyak 101 projek dengan jumlah perolehan sebanyak RM6.16 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Menteri Kewangan semasa pemerintahan PH.

Haji Ahmad yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan menjelaskan bahawa ia merupakan salah guna kuasa dan merupakan satu kesalahan menurut undang-undang negara.

“Perkara ini hendaklah di siasat mengikut seksyen 23 akta SPRM 2009 pegawai, badan awam atau anggota pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil manfaat atau berhubung sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan,” ulasnya.

Tambahnya, lebih memeranjatkan lagi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi zaman pemerintahan PH, Dato’ Seri Mohd Azmin Ali mendedahkan bahawa Lim Guan Eng tidak pernah membentangkan senarai projek tersebut dalam kabinet.

Di samping itu, pendedahan ini menimbulkan persoalan besar kepada seluruh rakyat Malaysia serta meragui semua tindakan mantan Menteri Kewangan tersebut kerana jumlah kelulusan dan perolehan adalah sangat besar.

Menurutnya, PAS Sabah menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa selepas laporan polis dibuat.