Home Sabah

PAS Putatan Meriahkan Aidiladha dengan 9 Ekor Lembu Korban

368
SHARE

Janira Ain Abu Bakar
4 Ogos 2020

PUTATAN : Walaupun PKPP masih berkuasa, Aidil Adha 1441H tetap disambut meriah. Pematuhan SOP meliputi sembahyang Hari Raya, proses sembelihan dan seterusnya agihan daging korban merupakan satu pengalaman baru yang belum pernah dirasai sebelum ini.

PAS Putatan telah mengadakan program korban yang menumbangkan 9 ekor lembu pada 31 Julai hingga 2 Ogos yang lalu.

7 lokasi telah dipilih untuk menjadi penyembelihan lembu korban, iaitu di Surau Austral, Kampung Contoh, Masjid Muhibah, Kampung Sailan, Lok Kawi, Pulau Gaya dan PASTI Ketiau.

Seramai 45 orang petugas yang melibatkan ahli cawangan, ahli Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan jawatankuasa PAS Putatan turut membantu sepanjang proses penyembelihan sehingga serahan daging korban kepada penerima.

Secara keseluruhan, sebanyak 694 orang penerima yang terdiri daripada para asnaf, orang miskin dan juga penduduk daripada 14 buah kampung sekitar Putatan telah menerima agihan daging korban sepanjang 3 hari sambutan Aidil Adha.

Menurut Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin, ibadah korban kali ini dilaksanakan dalam keadaan sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan penglibatan petugas yang minima di samping patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup separuh muka, penggunaan cecair pembasmian kuman dan penjarakan fizikal.

“Kita patuhi dan kita sangat-sangat bersetuju dengan apa yang dikeluarkan oleh MKN. Dan kita patuh arahan yang diberikan oleh jabatan agama. (Pematuhan ini) tidak memberi impak yang besar terhadap program-program yang kita adakan,” ujar Zulzaim yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Sabah sewaktu ditemui oleh wartawan RTM dalam salah satu program korban di PASTI Ketiau, baru-baru ini.