Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS PULAU PINANG | Pilihanraya Umum di Permatang Pauh

1936
SHARE

Oleh : Emi Z

KUBANG SEMANG, 28 Jan 2018 – Seawal jam 7.00 pagi para petugas jentera pilihanraya PAS dan SPR yang terdiri daripada aktivis-aktivis Jawatankuasa Pilihanraya Daerah Mengundi (JPRD) N.12 Penanti sudah mula berkumpul bagi memulakan proses pengundian dalam pilihan raya umum.

Watak “Ketua Tempat Mengundi” (KTM) dan “Kerani-kerani SPR” telah mengambil tempat di bilik mengundi seawal jam 7.30 pagi sepertimana amalan dalam pilihanraya sebenar. Ejen-ejen Tempat Mengundi & Mengira Undi (PACA) juga turut melapor diri ke bilik pengundian untuk menyaksikan proses akhir penyediaan bilik mengundi oleh “kakitangan-kakitangan SPR” dan membuat pemeriksaan peti undi.

Berlainan pula suasana di luar, petugas “Meja Panas” PAS sibuk menyusun dan menyelaras urusan pengangkutan pengundi dan menyediakan kaunter semakan daftar pemilih. Pengundi-pengundi pula mulai memenuhi pusat mengundi untuk membuang undi. Masing-masing sudah ada pilihan parti yang tersemat di fikiran.

Pelbagai ragam dapat dilihat, ada pengundi OKU, pengundi buta dan lain-lain.

Perayu Undi PAS terus memainkan peranan merayu undi di saat-saat terakhir. Saat-saat yang ditunggu, proses pengiraan undi, yang akhirnya memihak kepada calon PAS.

Begitulah serba sedikit suasana program “Mock Election” anjuran Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang.
PAS Kawasan Permatang Pauh sebagai tuan rumah telah memilih Dewan Bazar Tok Guru, An-Nahdhoh, Kubang Semang sebagai tempat program diadakan.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang, Bukhori Hj.Ghazali dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini diadakan bagi memberi gambaran situasi sebenar pada hari pilihanraya. Petugas PAS perlu diberi persediaan tentang sebarang kemungkinan yang akan terjadi sekaligus mempersiapkan ilmu tentang pilihan raya yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff turut hadir untuk menyampaikan taujihatnya sempena penutup program ini.

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menekankan tentang petugas PAS adalah mereka yang bertugas di jalan Allah untuk pertahankan kesucian Islam. Walaupun pilihanraya umum berlangsung sehari sahaja, gerakerja kita perlu bermula lebih awal beberapa tahun sebelum itu.

Jentera di kawasan perlu menjadikan Jabatan Pilihanraya Negeri sebagai rujukan dalam gerakerja pilihanraya.

PAS tidak akan membenarkan golongan yang tidak mesra dengan syiar Islam untuk terus berkuasa.
Beliau seterusnya menyeru jentera pilihanraya PAS seluruh negeri Pulau Pinang agar terus bangkit mempertahankan survival Islam di negeri ini.

Peserta hari ini terdiri dari wakil jentera pilihanraya kawasan-kawasan seluruh negeri Pulau Pinang.

Diharapkan agar program sebegini dapat memberi gambaran yang jelas tentang gerakerja pilihanraya yang perlu diperkemaskan di semua peringkat sekaligus memastikan tahap persediaan barisan jentera pilihanraya adalah berada di tahap yang optimum.