Home Berita PAS Terengganu

PAS Pilih Calon Untuk Menang, Perintah

22
SHARE

MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memilih calon bertanding pilihan raya daripada pelbagai latar belakang untuk menang dan memerintah.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mereka dipilih ada dalam kalangan ustaz, jurutera, doktor dan pemimpin masyarakat yang melaksanakan kerja-kerja jamaah dengan baik.

“mereka sentiasa dipantau oleh parti, ada kawasan yang tidak setuju dengan calon sebab nak ustaz jadi calon,

“kita bukan hendak perintah pondok tetapi hendak perintah negeri, jadi kena ada macam-macam,” tegasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika berucap
pada Majlis Makan Malam Dana As-Sabiqun diadakan di Dewan Tuan Guru Dato’ Harun Taib, Rusila di sini pada 5 Oktober.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Terengganu, Tuan Guru Dato’ Hussin Awang, Timbalan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Pusat, Ustaz Ismail Mahamed, Pengerusi As-Sabiqun Terengganu, Dato’ Mohd Abdul Wahid Endut dan veteran PAS, Dato’ Mustafa Ali.

Ustaz Abdul Hadi juga menyeru agar ahli parti bekerja mengikut kadar kemampuan dan kekuatan masing-masing.

“Kumpulkan kemampuan kamu setakat mana yang boleh, kerahkan kemampuan itu dengan ikhlas, walaupun musuh kamu empat kali ganda jumlah tenteranya melebihi kamu,

“Allah akan memberi kemenangan kepada Islam dengan pertolongannya dengan syarat orang Islam istiqamah berada di atas jalan yang betul,” jelasnya.

Tegas beliau, jangan sesekali berganjak dan jangan lari tinggalkan Islam dan jangan terikut-ikut dengan orang yang tidak mempunyai ilmu.

“Jangan ikut orang yang melampau, nak menang cepat, orang yang menghasut dengan mengatakan tiada harapan Islam boleh menang, lambat sangat hendak menang,” ujarnya. .

Di dalam program tersebut juga 16 orang tokoh Istiqomah As-Sabiqun dan As-Sabiqat kawasan – kawasan telah menerima anugerah mereka daripada Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.