Home Artikel PAS Pulau Pinang

PAS Permatang Pauh sedia teraju kebangkitan rakyat

57 views
SHARE

BALING: Permukiman PAS Kawasan Permatang Pauh telah diadakan dengan penglibatan bersama Dewan Harian Pemuda dan Muslimat PAS Permatang Pauh di Ashuk Maju Homestay, Kampung Pulai, di sini 2 Ogos lalu dan berakhir kelmarin dahulu.

Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Amir Hamzah Abdul Hashim selaku Pengarah Permukiman, ianya bertujuan memantapkan gerak kerja parti secara lebih sistematik dan efisien melibatkan semua entiti secara komprehensif.

Naib Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Ir Ahmad Rafaie Dato’ Ir A Rashid selaku Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti berkata, tujuan permukiman untuk mengadakan perancangan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan bukannya ‘syok sendiri’.

Permukiman ini turut menjemput Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Izwan Abdul Halim yang juga Pengarang Harakahdaily mengupas, berkongsi dan bermuhasabah mengenai gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) diperkenalkan PAS.

Beliau mengingatkan menerusi penjelasannya mengenai hakikat BPMS adalah niat, perancangan, pelaksanaan dan matlamat yang mesti menurut konteks Islam yakni sentiasa berpegang kepada garis panduan dan ketetapan dalil nas syarak.

“Apabila dikritik atau ditegur, janganlah kita merajuk hingga bertindak meletakkan jawatan, kerana kerja jamaah yang kita buat ini amat tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T,” nasihatnya.

Beliau turut memuhasabahkan sikap-sikap pemimpin terdahulu yang telah meninggalkan perjuangan kerana mengharap redha manusia daripada redha Allah, selain peringatan menjaga sempadan perlu dipatuhi dalam kerjasama atas nama parti dengan pihak lain.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan dalam ucapan penutupnya mengharapkan agar usaha melaksanakan tugas sebaik mungkin berdasarkan perancangan takwim yang telah disusun dapat dijayakan semua.

Beliau turut mengingatkan konsep ta’awun PAS-Umno perlu difahami agar tidak melanggar batas syarak dalam segenap penganjuran dan menutup permukiman itu dengan persetujuan tema “PAS Menerajui Kebangkitan Rakyat di Permatang Pauh”