Home Artikel PAS Pulau Pinang

PAS Permatang Pauh santuni veteran ATM

183
SHARE

PERMATANG PAUH: PAS Kawasan Permatang Pauh telah menganjurkan program Sambutan Kemerdekaan dengan mengundang Persatuan Kebajikan Ex-Gurkha di Dewan Haji Zabidi Kampung Pertama, di sini kelmarin.

Ahli-ahli persatuan tersebut terdiri daripada Veteran Angkatan Tentera Rejimen Askar Melayu Di Raja dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berjuang mempertahankan keamanan dan kedaulatan.

Penasihat Kebajikan Veteran 4 RAMD, Kapt (B) Zamri Ibrahim yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kedah menyifatkan program tersebut sebagai penghargaan kepada bekas anggota pasukan keselamatan itu.

Beliau juga menegaskan veteran-veteran ATM perlu mengambil tahu isu politik dan melibatkan diri dengan politik supaya nasib mereka dapat didengar dengan lebih dekat dan tidak mudah dipermainkan dan dihina oleh pihak-pihak tertentu.

Katanya, walaupun Komunis sudah tiada, tetapi ideologi mereka tetap ada di era Malaysia Baru ini, di mana tidak pelik apabila ada golongan yang menghina ATM dengan pelbagai tuduhan.

Manakala Pengerusi Kebajikan Briged Ex-Gurkha ATM, Aziz Awang berkongsi cerita di mana semasa berhidmat dalam ATM mereka berhadapan ancaman Komunis dan terpaksa meninggalkan anak isteri.

Namun kesali beliau, apabila ada pihak yang menghina ATM mereka tidak dapat menerimanya dan beliau berharap orang Islam Melayu bekerjasama demi keamanan daripada ancaman anasir luar yang mengugat di era ini.

Mengimbau kenangan lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan To’ Kandu, Mokhtar Tajri pula menceritakan, sebaik tamat perhidmatan tentera beliau terus melibatkan diri dengan Unit Amal ketika itu sebagai Jurulatih Kawad.

Katanya, Jabatan Amal Pulau Pinang ditubuhkan pada 1991 dan beliau antara pengerak utama di mana beliau pernah dipanggil Polis Cawangan Khas berhubung penglibatan beliau dengan Unit Amal.

Manakala dalam ucapan Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan turut merasa kesal dan marah ke atas penyokong PH yang menghina askar kononnya mereka hanya makan tidur dan tidak ada sumbangan pada negara.

“PAS tidak berdiam diri kerana kita menghargai jasa dan pengorbanan perajurit negara yang selama ini menjaga keselamatan negara kita dengan peluh dan air mata. Insya-Allah program ini akan dijadikan program tahunan PAS Permatang Pauh setiap Sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya.

Beliau juga menyampaikan cenderahati pada semua veteran ATM tersebut dan merakam penghargaan pada semua yang terlibat dalam majlis ini termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid Batu dan PAS Cawangan Kampung Pertama Dua.