Home Artikel PAS Perlis

PAS Perlis Sedia Hadapi Pilihan Raya Mengejut

542
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

PADANG BESAR : Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Perlis Haji Abdul Karim Md. Rejab menegaskan PAS Perlis kini bersedia menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya ia diadakan nanti.

Menurutnya, jentera pilihan raya di negeri ini sentiasa bergerak aktif sebaik saja berakhirnya PRU ke-14 yang lalu.

“Seluruh jentera parti sememangnya berada dalam mod siap siaga sepanjang masa kerana persediaan menghadapi pilihan raya bukanlah dilakukan secara bermusim.

“Justeru sekiranya pilihan raya mengejut terpaksa diadakan, kami bersedia menghadapinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Apa yang tinggal katanya, adalah menyelaras serta mengukuhkan lagi kerjasama dalam aspek perancangan serta pelaksanaan gerak kerja pilihan raya bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional.

Pada masa yang sama, beliau menyifatkan persefahaman yang tinggi antara parti komponen serta kepercayaan rakyat yang semakin meningkat terhadap kerajaan Pakatan Nasional pada hari ini, menjadi faktor yang menyemarakkan lagi semangat juang dalam kalangan ahli PAS di negeri ini.

“Dalam konteks Perlis, fokus kita sekarang telah berubah daripada berjuang untuk memenangi pilihan raya, kepada mempertahankan kemenangan kerana PAS kini telah menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah kerajaan negeri ini.

“Insya Allah komitmen kami adalah untuk melipatgandakan lagi usaha berdasarkan piawaian yang telahpun ditetapkan demi memastikan kemenangan yang lebih cemerlang¬† dapat dicapai,” tambahnya.

Desas-desus kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut timbul setelah Pakatan Harapan (PH) merancang untuk menggagalkan usaha menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat pada sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 13 Julai ini.

Berikutan itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada Isnin lepas telah mengarahkan jentera PAS di seluruh negara supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya yang akan diadakan sekiranya usaha berkenaan menemui jalan buntu.