Oleh : KHAULAH AL AZWAR
KUANTAN, 19 JULAI – PAS Kawasan Paya Besar malam tadi melancarkan jentera pilihan raya bagi kawasan tersebut sebagai persiapan awal menghadapi PRU16.
Dengan motto, ‘Gegar Pahang – PAS Teraju Pahang’, PAS kawasan tersebut kini siap siaga membina ‘pasukan badar’ mereka dengan sasaran (3 + 1).
Program dimulai dengan ucapan pelancaran jentera oleh Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih As Shubrawi.
Beliau membugar semangat para amilin yang hadir dengan memetik kata-kata penyejuk jiwa daripada baginda Nabi SAW bahawa janji Allah amatlah agung bagi orang-orang yang berjuang di jalan-Nya.
“Sabda Rasulullah SAW, “Siapa yang reda kepada Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul, maka ditetapkan baginya syurga.
“Abu Sa’id heran dengan hal ini lalu berkata, “Ulangilah untukku, wahai Rasulullah?” Beliau pun mengulanginya lalu bersabda, “Ada amalan yang lain, Allah mengangkat hamba dengannya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi.” Abu Sa’īd bertanya, “Apakah itu wahai Rasulullah?” Beliau bersabda, “Jihad di jalan Allah. Jihad di jalan Allah.”, ” ujarnya
Menurutnya, gerak kerja pilihan raya perlu digembelengkan dari sekarang tanpa menunggu saat-saat akhir.
“Setiap ceruk dan pelusuk perlu bergerak dah, pemuda, pemudi boleh turun ke lapangan, bantulah apa yang mampu.
“Pasukan kempen Pemuda mesti ambil tahu, faham, cakna serta membuat pemantauan secara berkala terhadap sasaran kemenangan masing- masing di setiap DUN ditaklifkan.
“Kenal pasti isu-isu tertunggak, tubuh atau hidupkan cawangan yang lemah, tingkatkan ahli, seru kepada penyatuan ummah untuk kuatkan Islam dan kurangkan musuh,” ujar beliau yang juga mudir Maahad Tahfiz al Istiqamah, Temerloh di hadapan lebih tiga ratus orang kader-kader PAS mewakili cawangan dan kawasan masing-masing.
Program berlangsung di Dewan Seminar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Darul Salam) turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Besar merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya serta wakil Jabatan Pilihan Raya Negeri, Ustaz Farid Ismail.
PAS Kawasan Paya Besar diwakili tiga Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada Perikatan Nasional iaitu Sungai Lembing dan Panching daripada PAS dan Lepar daripada Bersatu.