Oleh: Fatimah Din
MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terus mengorak langkah sebagai sebuah parti politik yang matang, bukan sahaja dalam kancah pilihan raya tetapi juga dalam menyampaikan dakwah dan Islam, sejak tahun 1951.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, PAS bukan sekadar parti pilihan raya, sebaliknya sebuah gerakan dakwah dan tarbiah yang sentiasa konsisten membawa mesej Islam.
“Kita bukan sahaja parti pilihan raya, tetapi gerakan dakwah dan tarbiah. Walaupun suasana setiap negeri berbeza, namun kita tetap membawa mesej yang sama Islam sebagai penyelamat ummah,” jelasnya.
Beliau juga Menteri Besar Terengganu, berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang kali ke-41 di Dewan Tuan Guru Dato’ Haron Taib, Rusila, di sini semalam.
Dr. Samsuri turut menyentuh pencapaian cemerlang PAS di peringkat nasional apabila parti itu memenangi 49 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menerusi gabungan Perikatan Nasional dan kini mempunyai 43 ahli Parlimen.
“Walaupun PAS belum menerajui Malaysia sepenuhnya, prestasi parti semakin stabil. Sebagai parti politik yang matang, PAS tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan yang boleh merugikan perjuangan dalam jangka masa yang panjang,” tegasnya.
Beliau menekankan, perjalanan politik PAS memerlukan perancangan yang teliti, kesabaran dan keikhlasan demi mencapai matlamat Islam yang sebenar.
“PAS hadapi turun naik prestasi dalam menyusun perjuangan, bukan untuk setahun dua tetapi untuk kelangsungan Islam dalam siasah tanah air generasi anak cucu kita,” kata beliau.
Pada mesyuarat tersebut, beliau mengumumkan bahawa ini merupakan penggal terakhir beliau sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Marang.
“Mungkin kita tidak sempat melihat PAS menerajui Malaysia, tetapi Allah akan tanya peranan, usaha, apa pengorbanan kita untuk meneruskan perjuangan ini,” tambah beliau lagi.