Oleh: Hasbullah Baharuddin
18 Ogos 2020
PAPAR: PAS Kawasan Papar bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Para perwakilan secara majoriti telah sebulat suara menyokong untuk meluluskan usul supaya PAS bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN bagi kerusi N.29 DUN Pantai Manis.

Persetujuan itu diperoleh selepas usul dibawa oleh PAS cawangan Kg. Takis dibentangkan Ketua Pemuda PAS Papar, Hendri Hamsah dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Papar.

“PAS Cawangan Kg. Takis mengusulkan supaya PAS Kawasan Papar bertanding kerusi DUN Pantai Manis pada PRN Sabah kali ini,” ujarnya menegaskan matan usul itu.

Menurut Hendri, walau bagaimanapun, komitmen ini akan mengambil kira perundingan pada peringkat nasional dan juga negeri khususnya bersama rakan Muafakat Nasional.

Terdahulu, Yang Dipertua PAS Papar, Abd Salim Karim menegaskan arahannya untuk seluruh Jentera Pilihan Raya PAS Papar supaya menghidupkan bilik gerakan dan menyusun strategi kemenangan di DUN itu.
