Oleh: NURIZYAN HAZIQAH HUSSIN
PAPAR: PAS Kawasan Papar telah membantu sebuah keluarga membina rumah bagi menggantikan rumah yang usang.
Hadir semasa proses pembinaan rumah ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Papar Abd Salim Karim, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Papar Ustaz Azmi Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kawasan Papar Hendri Hamsah dan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Ustaz Haris Azhar.
Pembinaan rumah ini juga disertai oleh ahli PAS dan beberapa orang kampung turut membantu yang bermula seawal jam 7.30 pagi di Kampung Gana Papar.
Semasa proses pembinaan rumah tersebut, YDP PAS Papar Abd Salim menyatakan rasa kagum dengan kerjasama yang diberikan bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.
Katanya keperihatinan kita terhadap masyarakat perlu ditingkatkan dengan kerjasama semua orang dan dalam masa yang sama kita juga perlu sampaikan dakwah kepada mereka agar Islam itu dapat diamalkan sepenuhnya.
Hendri Hamsah pula berkata, kita berharap kerjasama ini akan berterusan demi perkembangan dakwah kita di Daerah Papar agar kehidupan masyarakat lebih sejahtera bersama Islam.
“Alhamdulillah dengan kerjasama semua kita dapat meringankan sedikit beban keluarga ini dan memberi sedikit keselesaan kepada mereka untuk berteduh. Pembinaan hampir selesai dan berkemungkinan akan disambung pada minggu hadapan bagi pemasangan dinding rumah,” ujarnya lagi.