Nurizyan Haziqah Hussin, 28 Ogos 2019
PAPAR: Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Papar telah menganjurkan Bengkel Penulisan Haraki yang disampaikan oleh Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi selaku Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah.
Seramai 11 orang yang telah menghadiri bengkel penulisan haraki yang diadakan di Sekolah Integrasi Teras Islam (SRITI) An-Nawawi Papar, di sini kelmarin.
Bengkel ini pertama kali diadakan bagi mencari bakat-bakat baru dalam bidang penulisan berita. Sambutan daripada peserta amat menggalakkan. Turut hadir dalam bengkel ini TYDP PAS Kawasan Papar, Ustaz Azmi bin Abdullah dan Bendahari PAS Kawasan Papar Ustaz Tuan bin Muhammad.
Semasa bengkel tersebut Ustaz Amiruddin menerangkan teknik-teknik penulisan berita. Setiap berita yang dihasilkan perlu ringkas dan padat. Selain itu, setiap pemberita perlu mendapatkan maklumat yang tepat bagi menghasilkan sebuah berita yang bermanfaat. Peserta juga turut mempraktikkan teknik-teknik penulisan berita tersebut semasa sesi aktiviti berkumpulan.
Di akhir bengkel tersebut, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Papar telah memberi kata-kata semangat kepada para peserta. “Daripada bengkel ini, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai pemberita yang boleh menulis berita dengan baik,” kata Ustaz Azmi.