Kuantan – Setiap parti ada dasarnya dan semuanya akan berjuang mengikut prinsip dasarnya. Sesebuah parti yang menang dalam pilihanraya pasti akan memerintah atau membentuk kerajaan mengikut dasar perjuangan partinya.
Tawaran PAS adalah Islam, semua pimpinan dan ahlinya bergerak dengan penuh yakin bahawa ini adalah satu tawaran terbaik kepada rakyat, sistem Ilahi yang pastinya adil dan paling bersesuaian dengan Malaysia yang penduduknya dari berbilang agama dan bangsa.
Atas keyakinan ini, PAS teguh dengan prinsip perjuangannya meskipun peluru fitnah terhadapnya tidak pernah berhenti. Berpegang dengan janji Allah swt bahawa ‘Islam Pasti Menang’, PAS terus melangkah dan mendaki tangga untuk menuju puncak kemenangan.
Atas keyakinan dengan janji Allah swt itu lah PAS menolak janji kemenangan atau tawaran yang menghalang PAS untuk menegakkan hukum Allah swt. PAS sanggup menunggu masa yang panjang demi sebuah kemenangan yang diredhai Allah swt.
Jika PAS inginkan kemenangan yang bersifat ‘mee segera’, cepat tetapi terpaksa gadaikan prinsip perjuangan Islamnya, lebih baik PAS menyertai UMNO daripada PAS menyertai PH, kerana UMNO sedang memerintah sedangkan PH masih belum ketahuan nasibnya.
PAS tidak mahu menjadi parti ‘mee segera’ yang lembek mudah ditelan lahap oleh golongan yang tidak menerima dasar yang dibawa oleh PAS, kerana itu PAS tegas dengan prinsip perjuangannya, PAS mahu Islam memimpin bukan Islam itu dipimpin.
Maka PAS menolak untuk bersama dengan mereka yang tidak boleh menerima dasar yang PAS perjuangkan, PAS tidak mahu menang tetapi pemerintahannya ala ‘babarian’, zalim, kerana menghukum manusia bukan dengan hukum Allah swt Yang Maha Adil.
Kami ahli dan penyokong PAS yakin hanya Islam satu-satunya jalan yang menuju lurus tepat kepada garisan kemenangan yang diredhai Allah swt dan kami akan tetap berada diatas jalan tersebut.
YB Ustaz Rosli bin Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Pahang,
ADUN Tanjung Lumpur