TEMERLOH – Agihan lot tapak rumah, membangunkan tanah terbiar untuk belia, Tabung Warisan Anak Pahang (Tawap), skim bantuan barangan makanan harian dan bantuan perkahwinan merupakan lima daripada 12 tawaran Pas Pahang kepada rakyat jika mereka diberi mandat menerajui Pahang pada PRU14.
Lima tawaran itu diumumkan pada Himpunan Fastaqim 2.3 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, semalam.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menerusi tawaran agihan lot tapak rumah memberitahu, Pas Pahang akan mengkaji semula status pemilikan skim-skim perumahan sedia ada seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rancangan Penempatan Semula (RPS) yang kebanyakannya berstatus bukan hak milik.
“Kajian ini nanti dibuat agar pada akhirnya rakyat dapat memiliki rumah dan tanah sendiri pada kos yang mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya.
Bagi membangunkan tanah terbiar untuk belia pula, Rosli berkata, menurut perangkaan pada 2014, negeri ini memiliki 34,293 hektar tanah terbiar.
“Ini merupakan satu kerugian kepada negeri dan rakyat negeri ini kerana dengan tanah yang subur, muka bumi yang cantik dan baik ini tidak dapat dimanfaatkan semaksima mungkin untuk rakyat dan negeri Pahang itu sendiri,” katanya.
Tambahannya, sekiranya Pas menerajui Pahang, mereka akan membangunkan tanah-tanah terbiar itu untuk dimanfaatkan oleh belia-belia di Pahang termasuk belia Felda.
“Dengan membangunkan tanah terbiar ini kita mampu menyelesaikan tiga perkara utama iaitu masalah pengangguran belia termasuk belia yang tidak memiliki tanah dengan menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya yang mampu memberikan pulangan buat diri dan keluarga mereka, dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada bahan makanan dan pertanian yang diimport sekali gus akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi rakyat, dan mengangkat sektor pertanian sebagai sektor utama yang penting selain bergantung kepada sumber tradisi yang semakin terhakis,” katanya.
Menyentuh tentang Tawap pula Rosli berkata, melalui tawaran itu, ibu kelahiran atau bermastautin dan melahirkan anak di negeri ini layak mendapat bantuan tunai atau barangan dengan nilai tertentu sebagai penghargaan kerajaa negeri kepada ibu-ibu tersebut.
“Manakala anak yang baharu dilahirkan itu akan menerima sumbangan sebanyak RM100 melalui akaun tabungan yang akan dikendalikan oleh satu badan yang akan ditubuhkan di bawah kerajaan negeri di mana selepas mencapai usia 18 tahun, pencarum akan mendapat keuntungan setara dengan nilai masa itu selain akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memberi manfaat kepada pencarum,” katanya.
Menerusi skim bantuan barangan makanan harian, Rosli berkata, satu tabung kebajikan dan sosial rakyat akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri di mana kumpulan rakyat termiskin tanpa mengira kaum akan dibela melalui agihan percuma barangan keperluan asas harian secara bulanan.
“Melalui skim ini, rakyat yang lahir di Pahang atau bermastautin melebihi 10 tahun berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan atau ditakrifkan sebagai termiskin layak menerima bantuan,” katanya.
Dari segi bantuan perkahwinan pula, menurut Rosli, Pas Pahang menawarkan bantuan melalui walimah perdana kepada pasangan yang layak dengan menggunakan prasarana kerajaan negeri. Tawaran itu terbuka kepada semua termasuklah pasangan bukan Islam.
“Dengan ini Pas Pahang menyeru agar rakyat negeri ini mengambil tindakan yang bijak dengan memilih Pas sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negeri ini pada PRU14,” katanya.