Home Berita PAS Pahang

PAS Pahang l Jambatan penghubung 200 penduduk ‘menanti’ mangsa

1354
SHARE

LIPIS – PAS Lipis menggesa jambatan gantung di Kampung Kuala Kechau di sini yang rosak akibat banjir besar pada tahun 2014 lalu diperbaiki segera.

Timbalan Yang Dipertua Pas Lipis, Roslan Zainal berkata, jambatan gantung tersebut mengalami kerosakan serius apabila sebahagian besi penghadang hilang manakala lantainya senget.

Menurutnya, jambatan itu penghubung terdekat kira-kira 200 penduduk kampung khususnya warga emas untuk ke masjid di seberang Sungai Kechau.

 Jelasnya, tinjauan oleh jawatankuasa Pas Lipis turut mendapati terdapat tali yang diikat pada besi penghadang hasil usaha penduduk kampung  bertujuan mengelak pengguna terutama penunggang motosikal daripada terbabas atau terjatuh ke dalam sungai.

“Kami melihat sendiri bagaimana penduduk kampung mengambil risiko dengan menunggang motosikal melalui jambatan sepanjang 60 meter yang sebahagian besar penghadangnya rosak dan lantainya senget akibat dibadai banjir. Ia mengundang bahaya kepada penduduk khususnya penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

“Biarpun kampung ini hanya letak beberapa kilometer daripada Bandar Baru Kuala Lipis namun masalah jambatan rosak ini seolah-olah terlepas pandang oleh pihak bertanggungjawab,”katanya di sini, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Pas negeri berkata, meskipun terdapat laluan alternatif, penduduk tetap menggunakannya kerana menjimatkan masa untuk ke sekolah atau berurusan di bandar Kuala Lipis.

Beliau berharap jambatan itu dibaiki untuk  keselesaan pengguna.

“Kita mencadangkan pembinaan jambatan kekal bagi memastikan kejadian kerosakan jambatan sedemikian tidak berulang.

“Masalah jambatan ini turut memberi kesan kepada penduduk luar khususnya anak-anak dan saudara mara penduduk untuk melawat ibu bapa dan saudara mara mereka,” katanya.