Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS Nibong Tebal kehilangan permata

43
SHARE

NIBONG TEBAL, 9 NOVEMBER – PAS Kawasan Nibong Tebal kehilangan permata berharga setelah perginya seorang murabitun yang banyak berjasa kepada parti.

Haji Abdul Rahman Mahyudin menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di rumahnya di sini, Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS kawasan, Nor Zamri Latiff berkata, allahyarham seorang yang sentiasa menjaga pergaulan dan perhubungan yang baik di semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.

“Kebaikannya bukan setakat dalam kalangan ahli PAS malah beliau cukup disenangi dan disegani oleh sahabat dan musuh politik,” ujarnya.

Beliau menganggap allahyarham sebagai rakan, abang serta guru yang sentiasa menjadi tempat rujukan bagi dirinya.

“Dengan perwatakan seorang guru, beliau berjaya membawa ramai berjinak dengan agama dan seterusnya mula mendekati perjuangan PAS,” katanya.

Menurutnya, allahyarham yang dilahirkan pada 15 Mei 1935 di Kampung Bagan Tiang, Parit Buntar memulakan kerjaya sebagai seorang guru setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Tanjung Malim pada 1956.

“Ketokohan allahyarham mula terserlah sejak dari Maktab lagi apabila mula berjinak dengan politik setelah menghadiri majlis pengisytiharan kemerdekaan negara di Bandar Hilir Melaka,” ujarnya.

Menurutnya, antara hasil usaha allahyarham untuk PAS Sungai Acheh ialah membina PASTI Nurul Hakim setelah menubuhkan cawangan PAS di situ.

Katanya, dengan tokoh kepimpinan, Abdul Rahman yang mesra dengan panggilan Cikgu Said telah dipilih menjadi calon pilihan raya umum 1986.

“Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS kawasan pada tahun 1986 dan 1995 hingga 2004 beliau diamanahkan sebagai Imam di Masjid Sungai Acheh.

“Sebagai mengenang jasanya yang begitu besar dalam perjuangan PAS, nama allahyarham telah diabadikan pada Dewan Haji Abdul Rahman Mahyudin di PASTI Nurul Hakim,” ujar beliau lagi.