Home Berita PAS Perak

PAS mula bertapak dengan gerakan ulamak di Perak

169
SHARE

Oleh:Mohd Syamil Azhar

AIR KUNING: Seluruh pimpinan Dewan Ulamak PAS Negeri (DUPN) dan kawasan-kawasan di Perak disaran supaya menjadikan gerakan pertama sehingga tertubuhnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai motivasi mengembalikan kegemilangan itu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata gerakan pertama untuk merebut kemerdekaan tanahair dan gerakan awal sehingga tertubuhnya PAS bermula di Perak.

Katanya gerakan itu dipimpin, antaranya oleh Ustaz Abu Bakar Bakir yang menyatukan ulamak-ulamak dalam satu jamaah (Hizbul Muslimin) di Gunung Semanggol.

Pada peringkat awal tertubuhnya PAS, antara pimpinan besar ialah Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmi, Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad dan kemenangan kerusi pertama PAS juga di Perak (Kerian – 1959) oleh Tuan Haji Ahmad Tuan Hussin.

“Gerakan menuntut kemerdekaan, antara tokohnya, tak kiralah berhaluan kiri atau kanan, antaranya Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan lain-lain adalah orang Perak.

“Presiden dan Timbalan Presiden PAS, Dr Burhanuddin al-Helmi, Prof Dr Zulkifli Muhammad adalah orang Perak dan Datuk Asri, walaupun orang Kelantan, tapi bila beliau berkahwin dengan orang Padang Rengas, beliau bergiat di Perak.

“Kemenangan pertama calon PAS dalam pilihanraya adalah di Perak,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Negeri Perak Kali Ke-45 di Markaz Tarbiah PAS Negeri di Air Kuning semalam.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Sha’ari, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Zulkifli Zakaria, Naib Ketua, Ustaz Suhaimi Wafir dan perwakilan 11 Dewan Ulamak PAS Kawasan seluruh negeri.

Razman berkata, apa yang beliau hendak kata, benih yang ditanam dan tumbuh di negeri ini, tetapi tidak subur di Perak, dia subur di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh bangun sendiri, tetapi kita di Perak terpaksa bergabung dengan orang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol yang juga Exco PERLADANGAN, Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, DUPN dan kawasan-kawasan, malah beliau sendiri sebagai PJ mempunya tanggungjawab besar untuk mengembalikan kegemilangan itu.

Dalam ucapan itu, beliau seterusnya menggariskan beberapa perkara yang perlu dikuasai seluruh pimpinan, khususnya kalangan dewan ulamak dalam usaha ‘Memprofesionalkan Ulamak dan Mengulamakkan Profesional’.

Katanya, langkah-langkah yang digariskan bertujuan melahirkan pimpinan yang mampu mentadbir kerana pimpinan yang dipilih dalam dewan ulamak, sama ada di peringkat pusat, negeri dan kawasan adalah pimpinan yang akan menghadapi PRU15.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa ketika kita menjadi sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang ini, kita diberi sedikit kemewahan.

Katanya, di Perak PAS ada dua orang exco, seorang timbalan speaker, beberapa orang dalam GLC, 76 orang ahli majlis dan 829 JPKK di mana JPKK ini bekerja dengan ada imbuhan.
“Jawatan-jawatan itu kita dapat kerana kita diberi kepercayaan oleh jamaah dan gaji atau imbuhan itu kita dapat kerana kita bekerja dengan jawatan itu.

“Oleh itu apa yang kita dapat itu, sebahagiannya kita bagi baliklah kepada jamaah yang telah memberikan kepercayaan kepada kita. Kita impak semula untuk menggerakkan jamaah,” katanya.