Oleh : Mustaman Bin Mustain
22 Oktober 2019
SANDAKAN : Ekoran insiden kematian seorang banduan warga tempatan di Penjara Kepayan Kota Kinabalu baru-baru ini, PAS Sabah menggesa pihak PDRM membuat siasatan menyeluruh bagi memastikan kedua belah pihak mendapat keadilan sewajarnya dan menghukum mereka yang bersalah.
“Kita minta pihak PDRM membuat siasatan menyeluruh mengenai kes ini, dibimbangi ada unsur jenayah yang berlaku,” demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid ketika diminta mengulas mengenai insiden ini.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh pihak hospital, banduan berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman disebabkan kecedaraan pada kepalanya.
Ekoran dari insiden itu, tujuh orang warden dan seorang pegawai penjara yang dikatakan terbabit dalam kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 bagi jenayah membunuh.
Tambah Sahar, Jabatan Penjara adalah organ penting kerajaan bukan sahaja peranannya sebagai tempat menerima hukuman orang yang bersalah, malah yang lebih penting ialah sejauhmana banduan-banduan ini sedar dan insaf atas kesalahan mereka.
Selain itu kata Sahar, imej dan nama baik jabatan itu harus terus dipelihara di mata masyarakat dari sebarang unsur jenayah yang melibatkan kakitangan mahupun pegawai.
“Penjara perlu menjadi tempat mendidik dan membimbing banduan kerana pastinya suatu masa nanti mereka boleh menjadi rakyat yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama dan negara apabila tamat tempoh hukuman,” ulasnya.
Beliau turut menyeru agar pematuhan dan penambahbaikan SOP dalam menjalankan tugas bagi pegawai adalah menjadi keutamaan agar insiden serupa tidak berulang lagi pada masa akan datang.