Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS-MIC Pulau Pinang tekad bersama jatuh DAP

1043
SHARE

PERMATANG PAUH: PAS Negeri Pulau Pinang telah menerima kunjungan hormat dari MIC Pulau Pinang yang menjadi lembaran baru politik negeri itu dalam pertemuan bersejarah di Bandar Perda, di sini.

Kunjungan diketuai Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk Nyana Segaran itu disambut mesra Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di Barasta Café, semalam.

Datuk Nyana dalam ucapannya memaklumkan majlis tersebut adalah rentetan dari pertemuan yang lebih awal dirintis kedua parti melibatkan PAS Pusat dan MIC Pusat di Ibu Negara sebelum ini.

Malah, beliau dalam ucapannya itu menyuarakan penyaksiannya bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukanlah ekstremis sepertimana yang mereka tanggapi sebelum ini.

Bahkan pujinya, PAS telah buktikan tidak membawa sebarang ancaman kepada bangsa lain yang dapat juga disaksikan antaranya keamanan hidup berbilang kaum di Kelantan dan adanya tokong besar Buddha.

Ustaz Fauzi pula dalam ucapannya membawa petikan sama dibaca Presiden PAS iaitu ayat 13 surah al-Hujurat mengenai perakuan Allah dan perintah saling mengenali di sebalik kewujudan pelbagai kaum.

Pertemuan pertama yang turut membicarakan pandangan mengenai politik negeri ini juga menyuarakan persetujuan kedua pihak untuk menjatuhkan Kerajaan PH dikuasai DAP Pulau Pinang.