Home Berita PAS Perak

PAS Lumut prihatin, hulur sumbangan kebakaran

111
SHARE

Oleh : Roslina Nor

LUMUT, PAS Kawasan Lumut diketuai Yang Dipertua, Rosli Abd Rahman telah menziarahi mangsa kebakaran, Zainal Abidin Yahya, di Batu 8 Lekir, pagi tadi, di sini.

Zainal ketika ditemui memberitahu kejadian berlaku sekitar jam 3.00 petang berpunca daripada api gas yang terlupa ditutup ketika memasak air gula untuk berniaga pada waktu petang.

“Saya menyedari kebakaran apabila sampai di Batu 14 Lekir dan bertindak berpatah semula untuk menutup api tersebut.

“Malangnya, ketika saya tiba, api sedang marak mengakibatkan keseluruhan dapur dan sebahagian ruang tamu rumah telah dimakan api,” cerita Zainal kepada wartawan Harakahdaily.

Beliau yang juga ahli as-Sabiqun PAS Lumut amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan jiran yang berusaha menyelamatkan rumahnya daripada hangus dijilat api keseluruhannya.

Yang Dipertua PAS, Rosli Abd Rahman telah menyampaikan ucapan takziah dan memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada keluarga terlibat bahawa segala sesuatu yang telah ditakdirkan Allah sudah pasti ada hikmahnya.

Rombongan PAS telah menghulurkan sedikit sumbangan ahli PAS serta penduduk setempat berjumlah RM2300.00 serta kotak makanan.

Turut menyertai lawatan ini, Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad, Setiausaha As-Saabiqun Lumut, Zulkifli Nazri, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lumut, Zaharah Husin, serta Ahli Majlis Zon 15 Lekir, Habibah Rasdi.