Oleh: ZULHILMI ABU BAKAR
LIPIS, 9 Nov :: PAS Kawasan Lipis masih komited memperkukuhkan Muafakat Nasional untuk Parlimen Lipis.
“Biarpun isu pertembungan tiga penjuru di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini kelihatan wujud pertembungan di antara parti-parti dalam gabungan Muafakat Nasional, namun bagi kami di peringkat Parlimen Lipis masih optimis dan memandang positif terhadap gabungan kerjasama politik ini masih lagi boleh diselamatkan selagi mana kedua-dua parti mengutamakan agenda kepentingan rakyat dan agama melebihi kepentingan parti,” kata Ketua Penerangan PAS Kawasan Lipis, Zulfahmi Mohamed.
“Ini penting kerana pergeseran politik antara dua parti Melayu ini akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa,” tambahnya lagi.
Zulfahmi memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) di sidang akhbar ketika Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu baru- baru ini, bahawa PAS percaya semua pihak tidak mempunyai niat untuk keluar daripada gagasan tersebut kecuali ia dibubarkan.
TITM dipetik berkata, “Saya fikir Muafakat Nasional ini adalah agenda besar. Muafakat Nasional ialah penyatuan ummah. Namun malangnya ia bukan parti berdaftar. Ia gabungan parti dan kita harapkan kita balik kepada asal bahawa kita terbuka termasuklah NGO dan sebagainya.”
Zulfahmi berkata lagi, “Pihak PAS Kawasan Lipis tetap bersama dan komited memperkukuhkan hubungan kerjasama politik antara UMNO Bahagian Lipis dengan masih mengekalkan keberadaan wakil-wakil PAS di dalam Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Parlimen Lipis.”
“Hubungan yang baik antara gabungan dua parti ini, kita lihat diterima baik oleh ahli-ahli di peringkat bawahan dan ini boleh membantu masyarakat kita fokus kepada soal isu kebajikan masyarakat setempat memandangkan ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik yang melanda kita baru-baru ini,” tambah beliau.
:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::